Skip to main content
Advertisement

Dunia

Petinju Muay Thai berusia 24 tahun meninggal dunia selepas kejohanan di Singapura

Muay Thai training equipment at a school in Thailand
Sarung tangan tinju berwarna hitam dan pelindung kepala berwarna biru - peralatan latihan Muay Thai di sebuah sekolah di Thailand. - Gambar hiasan/Adobe stock
Advertisement

SINGAPURA: Seorang petinju Muay Thai berusia 24 tahun yang dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas menyertai satu kejohanan di Stadium Nasional Singapura awal bulan ini disahkan meninggal dunia, menurut polis pada Isnin.

Polis memaklumkan, satu laporan dibuat kira-kira pukul 8 pagi pada 13 September berhubung insiden melibatkan lelaki berkenaan yang dihantar ke hospital selepas menyertai kejohanan AMC 13 Fight for Hope sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti mangsa mahupun tarikh kematiannya.

Menurut polis, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikenal pasti setakat ini, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

Petinju tersebut merupakan atlet yang menjalani latihan di gim Muay Thai, Inspire Fitness Asia, dan telah bertanding dalam kejohanan yang berlangsung pada 12 September lalu.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, mereka menerima panggilan kecemasan di 1 Stadium Drive kira-kira pukul 7.05 malam pada hari kejadian sebelum seorang individu dibawa ke Hospital Tan Tock Seng untuk mendapatkan rawatan.

Dalam satu kenyataan pada 17 September, Persatuan Muay Thai Singapura (SMA) mengesahkan berlaku insiden semasa kejohanan berkenaan.

Menurut SMA, bantuan perubatan segera telah diberikan oleh pasukan perubatan yang bertugas di lokasi sebelum individu terbabit dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Persatuan itu turut memaklumkan bahawa semakan rasmi telah dimulakan dan pihaknya bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada insiden tersebut.

Dalam kenyataan susulan, SMA menolak dakwaan yang tular di media sosial bahawa petinju itu mengalami kekalahan secara knockout semasa perlawanan, sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar.

Menurut SMA, kedua-dua atlet masih berada di gelanggang ketika keputusan perlawanan diumumkan dan meninggalkan gelanggang tanpa bantuan sebelum kecemasan perubatan berlaku pada waktu kemudian.

Kejohanan Fight for Hope, yang berlangsung sepanjang tiga hujung minggu pada Ogos dan September, dianjurkan oleh SMA bagi mengumpul dana serta meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara untuk menyokong Breast Cancer Foundation Singapore. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement