KINSHASA: Petugas kemanusiaan yang terlibat dalam usaha menangani wabak Ebola dipindahkan awal pagi Khamis selepas keganasan tercetus semalaman di sebuah pusat rawatan Ebola di timur Republik Demokratik Congo (DRC), lapor Xinhua.
Menurut sumber keselamatan tempatan dan pertubuhan masyarakat sivil, keganasan itu tercetus susulan kematian seorang wanita hamil di Hospital Besar Nyakunde yang berfungsi sebagai pusat rawatan Ebola di wilayah Ituri, pusat penularan wabak berkenaan.
Anggota masyarakat setempat yang berang dilaporkan menyasarkan pusat rawatan itu sehingga mencetuskan insiden berbalas tembakan. Susulan kejadian itu, satu konvoi kemanusiaan dipindahkan selepas keadaan keselamatan semakin merosot. Beberapa mangsa dilaporkan maut, namun butiran lanjut masih belum jelas.
Sumber tempatan turut memaklumkan yang beberapa pesakit Ebola yang sedang menerima rawatan di pusat berkenaan dipercayai melarikan diri.
Usaha menangani wabak Ebola terus berdepan cabaran berikutan keadaan keselamatan yang tidak menentu, serangan terhadap petugas kesihatan dan kemudahan perubatan, kurangnya kepercayaan masyarakat, tindakan pesakit meninggalkan pusat rawatan sebelum menamatkan rawatan, serta bantahan oleh petugas barisan hadapan berhubung keadaan kerja dan elaun yang belum dibayar.
Pihak berkuasa DRC pada Khamis berkata seramai 119 petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan dijangkiti Ebola sepanjang wabak itu, termasuk 60 yang meninggal dunia.
-- BERNAMA-XINHUA