TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian menggesa agar tindakan undang-undang diambil menerusi pertubuhan antarabangsa yang berwibawa berhubung kerosakan pada infrastruktur pengangkutan Iran, sambil menyifatkan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan awam negara itu sebagai contoh jelas "jenayah perang".
Semasa lawatan ke Kementerian Jalan dan Pembangunan Bandar pada Ahad, Pezeshkian meneliti situasi terkini infrastruktur pengangkutan dan logistik Iran sebagai sebahagian daripada program pemantauan lapangan beliau bagi kementerian serta agensi kerajaan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Pegawai-pegawai berkaitan memberi taklimat kepada Presiden berhubung keadaan terminal sempadan, pelabuhan, rangkaian pengangkutan darat, rel, maritim dan udara, serta bekalan dan pengagihan barangan keperluan asas.
Menteri Jalan dan Pembangunan Bandar Farzaneh Sadegh turut membentangkan laporan terperinci mengenai kerosakan yang dialami pelabuhan, terminal sempadan, jambatan, jalan raya, landasan kereta api, kemudahan logistik dan infrastruktur strategik lain susulan serangan AS.
Pezeshkian mengarahkan pembinaan semula infrastruktur yang rosak dipercepatkan, pengaktifan laluan alternatif, serta langkah-langkah bagi memperkukuh daya tahan rangkaian pengangkutan dan memastikan perkhidmatan berjalan tanpa gangguan.
Beliau memuji kakitangan kementerian kerana mengekalkan perkhidmatan pengangkutan, sambil berkata sokongan berterusan orang ramai dan usaha kerajaan akan menggagalkan komplot musuh untuk menjejaskan infrastruktur negara.
Kenyataan itu menyusul selepas pencerobohan baharu AS ke atas Iran terhenti berikutan operasi tindak balas tegas yang dilancarkan oleh Angkatan Tentera Iran terhadap pasukan Amerika di rantau berkenaan.
Dalam hampir dua minggu serangan udara dilakukan, AS telah merosakkan jambatan serta jalan raya di selatan Iran dan hanya menghentikan serangan ke atas infrastruktur negara itu selepas Republik Islam mengemukakan doktrin ketenteraan membalas balik secara setimpal.
-- BERNAMA-IRNA