Skip to main content

Dunia

Phuket batal acara Yahudi susulan protes pro-Palestin

[TB]_Phuket to oppose Jewish New Year celebration_REUTERS
Peserta perhimpunan membawa sepanduk mengandungi mesej anti-Israel selain melaungkan slogan menyokong Palestin. -Foto Reuters
Advertisement

PHUKET: Sambutan Tahun Baharu Yahudi (Rosh Hashanah) di Phuket terpaksa dibatalkan pada saat akhir susulan kebimbangan keselamatan yang dibangkitkan oleh pegawai Israel.

Keputusan itu dibuat selepas kira-kira 500 individu berhimpun kira-kira 500 meter dari Chabad House di kawasan Patong untuk menyertai protes yang dianjurkan kumpulan dikenali sebagai "Save Phuket".

Peserta perhimpunan berkenaan membawa sepanduk mengandungi mesej anti-Israel selain melaungkan slogan menyokong Palestin.

Penganjur sebelum ini merancang menghimpunkan lebih 1,000 peserta di dua lokasi berbeza termasuk sebuah hotel tempatan sebelum bersetuju mengehadkan skala acara kepada kira-kira 700 peserta di Chabad House selepas berbincang dengan pihak berkuasa Phuket.

Timbalan Gabenor Phuket, Khetrat Chansilp, sebelum ini berkata pembatalan acara tersebut boleh menjejaskan imej Phuket sebagai destinasi pelancongan serta menyebabkan kerugian kewangan.

Bagaimanapun, penganjur mengambil keputusan membatalkan acara itu demi keselamatan tetamu selepas menerima nasihat pegawai keselamatan Israel yang bimbang berlaku konfrontasi atau insiden keselamatan susulan ketegangan yang semakin memuncak.

Pihak Chabad House berkata semua upacara keagamaan dan jamuan makan lain yang dijadualkan bermula Sabtu akan diteruskan seperti biasa dengan kawalan keselamatan yang sewajarnya.
 

Must Watch Video

Advertisement