Piala Dunia 2018 bukan di Rusia?

Jika bukan di Rusia, di mana ia bakal diadakan dan negara mana yang telah menang bidaan tergempar bagi menggantikan Rusia sebagai tuan rumah temasya tumpuan dunia itu?

Adakah kerana skandal racun bekas perisik Rusia Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia menggunakan agen saraf menyebabkan Moscow dilarang menganjurkan temasya itu?

Atau mungkin akan ada negara yang terlibat dengan pengusiran yang dilakukan Rusia menarik diri dari pertandingan itu?

Persoalan itu kini menjadi antara yang sedang hangat diperkatakan pentadbiran Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pada Ahad, Kementerian Luar Rusia mengeluarkan kenyataan yang menuduh Britain dan Amerika Syarikat sedang cuba menghalang Moscow dari menganjurkan Piala Dunia itu Jun nanti.

Jurucakap kementerian Maria Zakharova dalam temu bual yang diadakan bersama stesen televisyen tempatan mendakwa hasrat sebenar kedua-dua negara terbabit adalah untuk mengeluarkan penganjuran itu dari Rusia.

"Tujuan utama mereka adalah untuk membawa keluar Piala Dunia dari Rusia.

"Mereka akan menggunakan apa sahaja cara yang ada untuk itu.

"Dalam fikiran mereka hanya pada pertandingan bola sepak itu," jelasnya.

Britain telah menghukum Rusia selepas menuduh Moscow bertanggungjawab terhadap serangan agen saraf di Britain.

Bagi Rusia, Britain kini cuba mengelak Piala Dunia itu berlangsung di negara bekas Soviet itu.

Kenyataan itu dikuatkan lagi dengan kenyataan terbaharu Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson yang menyamakan Piala Dunia Rusia dengan penganjuran Sukan Olimpik Nazi Jerman pada tahun 1936.

Walau bagaimanapun, buat masa ini tiada cadangan disuarakan berhubung kontinjen England memboikot acara yang bakal membuka tirai pada Jun itu.