CUPERTINO: Apple dilapor bakal menumpukan semula kepada aspek reka bentuk produk di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, John Ternus, sebagai usaha mengembalikan identiti estetik syarikat itu, lapor Amanz.
Menurut penganalisis Bloomberg, Mark Gurman, langkah itu bertujuan memastikan produk Apple kembali menonjol dalam kalangan pengguna, selain menjawab kritikan peminat tegar yang melihat reka bentuk peranti syarikat itu semakin serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata pendekatan tersebut dijangka mengembalikan daya tarikan unik Apple seperti era sebelum ini, khususnya ketika di bawah pengaruh pereka terkenal, Jony Ive.
Antara produk terawal yang dilaporkan menerima pendekatan baharu ialah komputer riba MacBook Neo, yang mendapat pujian awal kerana menawarkan reka bentuk premium pada harga lebih mampu milik.
Selain itu, perubahan besar terhadap reka bentuk iPhone dijangka diperkenalkan menerusi model yang dikenali sebagai “iPhone 20” pada 2027, bersempena ulang tahun ke-20 pelancaran peranti berkenaan.
Peranti itu dikhabarkan tampil dengan rekaan skrin sepenuhnya tanpa butang fizikal, selain dilengkapi sistem pengecaman wajah di bawah skrin serta paparan melengkung pada keempat-empat sisi.
Ternus dijadual menggantikan Tim Cook sebagai CEO berkuat kuasa 1 September 2026. Sebelum ini, beliau memegang jawatan Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan Apple sejak 2021.
Beliau menyertai Apple pada 2001 sebagai anggota pasukan kejuruteraan reka bentuk produk.