Skip to main content

Dunia

Pihak berkuasa Singapura tiada maklumat berhubung rakyatnya didakwa sertai IDF

51747262756_tbIsraelimilitary.jpg
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura menyatakan bahawa ia tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan bahawa dua rakyat Singapura terlibat dalam pertempuran sebagai sebahagian daripada Pasukan Pertahanan Israel (IDF). - Gambar fail

SINGAPURA: Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura menyatakan bahawa ia tidak mempunyai maklumat berhubung dakwaan bahawa dua rakyat Singapura terlibat dalam pertempuran sebagai sebahagian daripada Pasukan Pertahanan Israel (IDF), lapor media tempatan.

Kementerian itu mengambil maklum mengenai laporan media asing yang mendakwa dua rakyat Singapura adalah antara individu yang bertempur untuk IDF di Gaza.

Advertisement

"MHA tidak mempunyai sebarang maklumat berasas pada ketika ini bahawa mana-mana rakyat Singapura sedang atau pernah bertempur sebagai sebahagian daripada IDF," kata kementerian itu seperti yang dilaporkan oleh The Straits Times (ST) pada Khamis.

MHA berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada ST berhubung laporan pada 11 Feb yang diterbitkan oleh saluran kewartawanan penyiasatan British, Declassified UK.

Laporan itu menyatakan bahawa dua pemegang pasport Singapura adalah antara mereka yang dikenal pasti - seorang dilaporkan warganegara Singapura yang turut memegang kerakyatan Israel, manakala seorang lagi dikatakan memiliki pelbagai kewarganegaraaan.

Bagaimanapun, laporan itu tidak memperincikan peranan yang didakwa dipikul oleh rakyat Singapura berkenaan atau tempoh penglibatan mereka.

-- BERNAMA
 

Must Watch Video