Pihak berkuasa Thailand tingkat amaran banjir di daerah selatan susulan hujan berterusan

Penduduk di daerah Songkhla, Hat Yai dan Na Mom dinasihatkan supaya memantau rapi keadaan semasa serta mematuhi langkah-langkah keselamatan dengan ketat. - AP
BANGKOK: Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand (DDPM) pada Khamis memberi amaran kepada penduduk di tiga daerah di selatan Thailand supaya sentiasa berwaspada berikutan risiko banjir kilat dan tanah runtuh susulan hujan lebat.
Dalam satu kenyataan, DDPM memaklumkan penduduk di daerah Songkhla, Hat Yai dan Na Mom dinasihatkan supaya memantau rapi keadaan semasa serta mematuhi langkah-langkah keselamatan dengan ketat.
"Penduduk digesa sentiasa berjaga-jaga terhadap kemungkinan banjir dan tanah runtuh, khususnya di kawasan sepanjang terusan dan laluan air, kawasan rendah serta lereng bukit.
"Orang ramai perlu memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi, menyelamatkan barang berharga dan dokumen penting, berwaspada terhadap bahaya elektrik serta memastikan keselamatan golongan rentan," menurut jabatan itu.
DDPM menyatakan bahawa pihaknya telah berkoordinasi dengan pengendali rangkaian mudah alih untuk mengeluarkan mesej amaran menerusi sistem Cell Broadcast bagi memaklumkan penduduk di daerah terjejas mengenai hujan lebat.
Terdahulu, Majlis Perbandaran Hat Yai turut mengeluarkan amaran banjir "Bendera Kuning" (Yellow Flag) kepada penduduk dalam kawasan perbandaran Hat Yai.
Majlis perbandaran itu melaporkan hujan lebat berterusan sejak Rabu malam hingga petang Khamis mengakibatkan jumlah hujan terkumpul sebanyak 140 milimeter, sekali gus meningkatkan paras air di beberapa terusan.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi ketika dihubungi menasihatkan rakyat Malaysia yang kini berada di selatan Thailand supaya terus berhati-hati, memantau rapi keadaan cuaca serta mematuhi pengumuman dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Wilayah selatan Thailand merupakan antara destinasi pelancongan paling popular bagi rakyat Malaysia, dengan lebih 3.5 juta pelawat Malaysia direkodkan tahun lalu.
Bulan lalu, banjir buruk di selatan Thailand meragut lebih 145 nyawa dan menjejaskan kira-kira 3.54 juta orang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


