Skip to main content

Politik

Calon PM: Anwar beri PH kelebihan, BN-Pas masih 'tercari-cari' - Penganalisis

Kekuatan yang ada pada Anwar lebih meyakinkan apabila dibina atas rekod pentadbiran dan mutu kepimpinannya, berbanding pemimpin parti-parti lain. - Gambar fail/Bernama
Kekuatan yang ada pada Anwar lebih meyakinkan apabila dibina atas rekod pentadbiran dan mutu kepimpinannya, berbanding pemimpin parti-parti lain. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka berlangsung dalam masa setahun daripada sekarang, Pakatan Harapan (PH) mempunyai kelebihan lebih besar dalam isu penamaan calon Perdana Menteri berdasarkan rekod dan keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mentadbir negara terutama dari segi pembangunan ekonomi dan sosial.

Profesor, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh berkata, Anwar menawarkan kepimpinan yang sudah dikenali dan rekod pentadbiran yang boleh dinilai.  

Menurut beliau, dalam menghadapi PRU16, kepastian tentang siapa yang akan memimpin negara merupakan suatu kekuatan politik, khususnya apabila pihak yang mahu mencabar kerajaan sekarang masih belum mencapai persetujuan mengenai siapa kepimpinan tertinggi mereka.

“Kelebihan Anwar bukan sekadar pada nama atau kedudukannya sebagai penyandang. Beliau mempunyai pengalaman mengurus ekonomi, mengendalikan hubungan antarabangsa dan mempertemukan pelbagai parti yang berbeza kepentingan dalam sebuah kerajaan termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Keupayaan mengurus perbezaan ini penting kerana untuk mentadbir Malaysia memerlukan keyakinan merentas parti, agama, kaum, wilayah dan latar belakang sosio-ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Afandi menjelaskan, sekiranya kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pas mahu dikemukakan sebagai pilihan untuk mengambil alih Putrajaya, gabungan itu perlu menjelaskan siapa calon Perdana Menteri, apakah dasar bersama dan bagaimana mereka akan membentuk kerajaan yang stabil.

Katanya, slogan penyatuan ummah mempunyai daya tarikan politik, tetapi ia perlu diterjemahkan kepada tawaran pentadbiran yang meyakinkan.

Beliau menegaskan, persetujuan untuk bekerjasama dalam pilihan raya belum tentu bermakna persetujuan tentang cara mentadbir selepas kemenangan.

“Saya berpandangan bahawa Pas masih tidak mempunyai pemimpin bertaraf nasional yang berkaliber dan mampu diterima semua pihak, berupaya mengurus ekonomi yang kompleks dan membina keyakinan rakan gabungan, termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kewibawaan dalam parti perlu disertai kemampuan memimpin seluruh negara,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, soal integriti pemimpin juga akan dinilai dan perlu menunjukkan ketelusan serta kesediaan dipertanggungjawabkan.

Katanya lagi, kekuatan yang ada pada Anwar lebih meyakinkan apabila dibina atas rekod pentadbiran dan mutu kepimpinannya, berbanding pemimpin parti-parti lain.

“Cabaran kepada BN-Pas pula ialah menawarkan kepimpinan dan program pemerintahan yang sekurang-kurangnya setanding. Pengundi berhak mengetahui siapa yang akan memimpin mereka, bagaimana negara akan ditadbir dan apakah yang akan menjadi lebih baik dalam kehidupan mereka,” jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement