Ringkasan AI
- Kerajaan terus memberi perhatian kepada kebajikan pesara perkhidmatan awam, selaras usaha menghargai sumbangan mereka kepada negara.
- Jabatan Perkhidmatan Awam melaksanakan Program Santuni Pesara di pelbagai negeri sebagai inisiatif berterusan untuk memastikan kebajikan pesara terjaga.
- Program ini melibatkan kerjasama JPA, KWAP dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Kelantan, memberi sokongan kepada pesara yang memerlukan bantuan.
KOTA BHARU: Kebajikan dan kehidupan pesara perkhidmatan awam selepas bersara terus diberi perhatian kerajaan, selaras usaha memastikan golongan yang pernah menabur bakti kepada negara tidak dilupakan, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memberi penekanan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya isu berkaitan kebajikan pesara diberi perhatian sewajarnya.
“Perdana Menteri juga sentiasa memberi penekanan kepada JPA supaya melihat isu-isu yang membabitkan pesara, terutama dari segi kebajikan dan kehidupan mereka selepas persaraan,” katanya selepas Program Santuni Pesara di Telipot di sini hari ini.
Beliau berkata susulan penekanan itu, JPA menjadikan program menyantuni pesara sebagai satu inisiatif berterusan yang dilaksanakan ketika menjalankan program di pelbagai negeri.
Wan Ahmad Dahlan berkata usaha berkenaan adalah manifestasi penghargaan kerajaan terhadap pesara yang telah banyak berjasa kepada pembangunan negara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa memberi perhatian kepada pesara sebagai tanda menghargai sumbangan mereka selepas menamatkan perkhidmatan.
“Jadi alhamdulillah, saya sentiasa mengingatkan pegawai-pegawai awam supaya sentiasa memberi perhatian kepada pesara,” katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan turut menziarahi tiga pesara perkhidmatan awam di sekitar Bachok dan Kota Bharu, Kelantan menerusi Program Santuni Pesara.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama JPA, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Kelantan itu bertujuan memastikan kebajikan serta keperluan pesara terus diberi perhatian, khususnya mereka yang memerlukan sokongan serta bantuan.
Ziarah pertama melibatkan Mohd Nazar Abu Bakar, 61, bekas Pembantu Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, diikuti Lee Choon Seng, 90, yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Bukan Siswazah di Kementerian Pendidikan (KPM).
Program itu turut menyaksikan Wan Ahmad Dahlan menziarahi Siti Zaitun Abdullah, 78, bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah KPM, yang kini menerima penjagaan di Pusat Jagaan ShalisCare Centre di sini.
Lebih bermakna, Siti Zaitun adalah bekas guru Geografi Wan Ahmad Dahlan ketika beliau menuntut di Maktab Sultan Ismail (Sultan Ismail College) di sini, menjadikan pertemuan itu sebagai detik istimewa antara seorang bekas murid dan gurunya selepas puluhan tahun.
-- BERNAMA