Pizza beracun, lelaki cuba bunuh isteri tujuh kali

Lelaki berusia 56 tahun itu juga berdepan pertuduhan menyebabkan kecederaan parah di Mahkamah Wilayah Bamberg, di bandar Bamberg, selatan Jerman. - Gambar hiasan
NUREMBERG (Jerman): Seorang lelaki warga Jerman dibicarakan pada Khamis atas pertuduhan cubaan membunuh selepas didakwa meracuni isterinya sebanyak tujuh kali - termasuk melalui pizza sejuk beku, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lelaki berusia 56 tahun itu juga berdepan pertuduhan menyebabkan kecederaan parah di Mahkamah Wilayah Bamberg, di bandar Bamberg, selatan Jerman.
Menurut pertuduhan, lelaki itu mula menjalinkan hubungan dengan seorang wanita lain secara dalam talian pada 2022 dan berjanji akan membina masa depan serta mempunyai anak bersama.
Bagi membebaskan dirinya untuk memulakan kehidupan baharu, dia didakwa merancang untuk membunuh isterinya pada musim panas 2023.
Siasatan mendapati tertuduh melakukan carian di Google menggunakan kata kunci "racun maut untuk manusia" dan "pengesanan keracunan aconite".
Dia kemudian didakwa memesan beberapa jenis racun tumbuhan ke tempat kerjanya. Pihak pendakwa menuduhnya cuba meracuni pasangannya sebanyak tujuh kali antara Ogos 2023 dan Disember 2024.
Mangsa terselamat setiap kali, namun dalam beberapa kejadian terpaksa dimasukkan ke hospital dan dipasang alat perentak jantung akibat kesan keracunan.
Dalam cubaan terakhir pada Disember 2024, lelaki berkenaan didakwa meletakkan racun pada pizza sejuk beku yang dimakan oleh isterinya dan anak lelaki mereka.
Racun itu menyebabkan kedua-duanya mengalami gangguan aritmia jantung yang serius dan nyawa mereka berada dalam bahaya. Mereka hanya terselamat hasil tindakan pantas doktor kecemasan dan petugas paramedik.
Sebaliknya, lelaki itu dikatakan tidak menunjukkan sebarang kebimbangan atau rasa simpati ketika pasukan perubatan berusaha menyelamatkan nyawa mereka.
Pada hujung minggu berikutnya, tertuduh dilaporkan pergi ke Perancis bersama wanita kenalannya sebelum akhirnya ditangkap pihak berkuasa.
Penyiasat menemui sisa pelbagai racun tumbuhan semasa melakukan pemeriksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


