SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan "rakan lama Singapura," kata Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan.

"Ramai Menteri Singapura mengenali rakan sejawat mereka di Malaysia sehingga selama beberapa dekad, dan kami sentiasa berhubung," katanya semasa perbahasan jawatankuasa perbekalan di Parlimen pada Isnin.

Balakrishnan berkata demikian sebagai jawapan balas kepada soalan yang dikemukakan dua Ahli Parlimen (MP) mengenai hubungan Singapura dengan Malaysia.

"Pada akhir Januari, kami menyambut kedatangan PM Anwar dalam lawatan sulungnya ke Singapura. Lawatan itu membuahkan hasil," katanya.

Semasa lawatan itu, kedua-dua negara menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MOU) G-to-G berkaitan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital dan Lestari, serta MOU mengenai Perlindungan Data Peribadi, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital.

"Dan ini menandakan komitmen kami untuk mengusahakan bidang baharu yang menjadi tumpuan bersama.

"Kami mengalu-alukan PM Anwar untuk berkunjung semula ke Singapura pada akhir tahun ini bagi menghadiri Pemukiman Pemimpin Ke-10," kata Balakrishnan.

Menteri itu menegaskan bahawa "jalinan erat dengan Malaysia disokong oleh hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh dan pertukaran peringkat tinggi yang kerap."

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga mempunyai projek kerjasama berterusan yang penting, termasuk Pautan Sistem Transit Rapid (RTS) antara Singapura dan Johor Bahru.

"Projek ini akan memudahkan perjalanan puluhan ribu rakyat yang merentasi sempadan setiap hari. Ia telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dan dijangka mula beroperasi pada penghujung 2026," katanya.

Bagaimanapun, menteri itu menjelaskan bahawa seperti mana-mana persahabatan, masalah akan timbul dari semasa ke semasa.

Memetik contoh, Balakrishnan berkata, walaupun isu kedaulatan ke atas Pedra Branca telah diselesaikan secara muktamad, Malaysia telah menimbulkan bantahan terhadap kerja-kerja pembangunan Singapura di Pedra Branca.

"Kerja-kerja ini perlu demi meningkatkan keselamatan maritim serta meningkatkan keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan itu. Kerja-kerja itu juga akan memastikan bahawa Pedra Branca dilindungi daripada ancaman kenaikan paras laut," katanya.

Balakrishnan memberi jaminan kepada Ahli Parlimen bahawa kerja-kerja pembangunan berkenaan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan Singapura ke atas pulau itu dan perairannya.

"Namun, atas semangat kerjasama dan kepercayaan, kami menggantung sementara kerja-kerja itu pada Mei 2022, untuk memudahkan perbincangan mengenai kebimbangan Malaysia dan menangani secara komprehensif berhubung persoalan Malaysia.

"Pada Disember 2022, Singapura mengemukakan cadangan kepada Malaysia untuk menyelesaikan isu berkenaan dan meneruskan kerja-kerja pembangunan di kawasan itu.

Selepas itu, kami bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk diberi masa mempertimbangkan penjelasan dan cadangan kami," katanya.

Pada masa ini, menteri itu memaklumkan bahawa kerja pembangunan dihentikan sementara kerana musim tengkujuh.

"Kami akan menguruskan perbezaan kami secara konstruktif dan pragmatik dan tidak membenarkan sebarang isu membayangi keseluruhan perhubungan."

Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan seorang ahli parlimen mengenai bila pembangunan di Pedra Branca dijangka dimulakan semula, Balakrishnan menjawab: "Saya tidak akan memberi anda tarikh tertentu kerana sebenarnya perbincangan dengan Malaysia masih diteruskan."

"Jadi, saya tidak mahu merumitkan dengan membuat pengumuman awam pada masa ini. Tetapi marilah kita teruskan perbincangan ini dengan Malaysia buat sementara waktu. Terdapat tarikh akhir, tetapi saya tidak mahu membuat kenyataan umum sehingga sesuai masanya."

Di Malaysia, Pedra Branca dirujuk sebagai Batu Puteh. - BERNAMA