BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul mengarahkan gabenor wilayah supaya menguatkuasakan undang-undang dengan tegas dan segera mengusir warga asing yang mengeksploitasi atau mengancam rakyat Thailand, ketika pihak berkuasa mempergiat tindakan keras terhadap aktiviti haram yang melibatkan warga asing.
Anutin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau telah menandatangani pengumuman Kementerian Dalam Negeri yang mewujudkan mekanisme pengusiran bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap warga asing yang melanggar undang-undang Thailand atau yang tingkah laku mereka dianggap tidak diingini.
“Saya faham pelancong yang datang ke sini menjana perbelanjaan dan pelaburan di Thailand, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh mengambil kesempatan terhadap kami atau menggunakan dana pelaburan untuk terlibat dalam aktiviti haram,” katanya semasa mesyuarat bagi memantau pelaksanaan dasar Kementerian Dalam Negeri pada Khamis.
Beliau mengarahkan gabenor dan ketua daerah supaya menguatkuasakan undang-undang dengan tegas terhadap rangkaian penama, perniagaan berunsur penipuan, pemilikan tanah secara haram, pekerjaan tanpa kebenaran dan warga asing yang menggunakan Thailand sebagai pangkalan bagi aktiviti jenayah.
Anutin turut mengarahkan gabenor supaya mempergiat usaha membanteras dadah haram dan bekerjasama rapat dengan ketua daerah serta ketua polis wilayah bagi memastikan penguatkuasaan yang berkesan.
Beliau menegaskan Thailand kekal terbuka kepada pelancong yang sah dan pelaburan asing, dengan syarat warga asing menghormati undang-undang, adat resam dan tradisi Thailand.
Kenyataan beliau dibuat ketika penelitian terhadap warga asing dan perniagaan di destinasi pelancongan utama termasuk Phuket dan Koh Samui semakin meningkat, susulan insiden membabitkan pelawat asing serta pertikaian mengenai aktiviti perniagaan dan hartanah.
Perhatian orang ramai khususnya tertumpu kepada pelancong Israel sejak beberapa minggu kebelakangan ini, walaupun pihak berkuasa Thailand menegaskan bahawa penguatkuasaan terpakai kepada warga asing tanpa mengira kewarganegaraan.
Pada 10 Sept, ratusan penunjuk perasaan yang diketuai bekas taikun media Sondhi Limthongkul berhimpun di luar Kedutaan Israel di Bangkok, menuntut tindakan diambil berhubung dakwaan salah laku oleh segelintir warga Israel.
Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow turut mengadakan perbincangan dengan Duta Besar Israel Alona Fisher-Kamm berhubung kebimbangan mengenai kelakuan segelintir warga Israel di Thailand.
Awal bulan ini, Anutin mengarahkan pengusiran seorang warga Israel yang disabitkan kesalahan mengancam seorang pemilik zoo di Koh Samui, sekali gus menandakan kali pertama peraturan baharu pengusiran Thailand 2026 dilaporkan digunakan.
-- BERNAMA