Skip to main content
Advertisement

Dunia

PM Australia janji tingkatkan keselamatan ahli politik susulan serangan

Albanese berkata, kajian semula pengaturan keselamatan Ahli Parlimen (MP) diminta dipercepatkan selepas Helen Heines cedera parah dalam satu kemalangan awal bulan ini. - Gambar fail/Bernama
Albanese berkata, kajian semula pengaturan keselamatan Ahli Parlimen (MP) diminta dipercepatkan selepas Helen Heines cedera parah dalam satu kemalangan awal bulan ini. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

CANBERRA: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata pada Selasa bahawa kerajaan sedang meneliti langkah keselamatan tambahan untuk ahli politik susulan serangan terhadap Ahli Parlimen Bebas Helen Haines, lapor Xinhua.

Albanese memberitahu satu mesyuarat Parti Buruh yang memerintah di Canberra bahawa beliau meminta supaya kajian semula pengaturan keselamatan Ahli Parlimen (MP) dipercepatkan selepas Haines cedera parah dalam satu kemalangan awal bulan ini.

Beliau berkata Ahli Parlimen telah mengemukakan beberapa pilihan, termasuk penggera kecemasan atau butang panik untuk memaklumkan pihak berkuasa sekiranya berlaku serangan dan berjanji kerajaan akan memberikan maklum balas dengan segera.

"Saya tahu ramai antara anda mengalami peningkatan tingkah laku agresif dan ugutan, sama ada dalam talian mahupun secara bersemuka. Terdapat ugutan keji yang ditujukan kepada anda dan keluarga serta kerosakan terhadap pejabat kawasan pilihan raya anda," katanya.

"Keadaan ini amat ketara dalam kalangan Ahli Parlimen wanita, yang sering menerima ugutan keji dan berunsur misogini terhadap keselamatan mereka, selain peningkatan kebencian dalam talian yang sering bersifat ganas dan seksual," katanya.

Haines, yang mewakili sebuah kawasan pilihan raya di timur laut Melbourne sebagai Ahli Parlimen Bebas sejak 2019, kehilangan kedua-dua belah kakinya selepas dilanggar sebuah kereta di luar pejabat kawasan pilihan rayanya pada 19 Okt.

Albanese menyifatkan insiden itu sebagai satu serangan yang disengajakan.

Sehingga Selasa, Haines masih dirawat di hospital dalam keadaan serius tetapi stabil.

Menteri Kewangan, Wanita, Perkhidmatan Kerajaan dan Perkhidmatan Awam Katy Gallagher berkata pada awal Selasa bahawa sembilan Ahli Parlimen akan menerima penambahbaikan keselamatan di pejabat kawasan pilihan raya masing-masing selepas menyuarakan kebimbangan susulan serangan terhadap Haines.

Beliau memberitahu perkhidmatan radio Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) bahawa keselamatan di kawasan awam Bangunan Parlimen juga akan dipertingkatkan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement