Skip to main content

Dunia

PM Australia mohon maaf selepas ulasan mengenai Kylie Minogue cetus kontroversi

[TB]_Anthony Albanese Kylie Minogue_REUTERS
Perdana Menteri Albanese (kiri) memohon maaf selepas diminta memilih antara penyanyi Kylie Minogue, pelakon Nicole Kidman dan penghibur Rhonda Burchmore untuk satu soalan berbentuk hipotetikal mengenai siapa yang akan dikahwini, dijadikan pasangan temu janji atau hubungan intim. - Gambar fail Reuters
Advertisement

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak menghormati wanita ketika menjawab soalan dalam sebuah siaran podcast baru-baru ini.

Albanese muncul dalam podcast Bush Deep yang dikendalikan pelawak Nikki Osborne pada Khamis lalu. 

Dalam sesi tersebut, beliau diminta memilih antara penyanyi Kylie Minogue, pelakon Nicole Kidman dan penghibur Rhonda Burchmore untuk satu soalan berbentuk hipotetikal mengenai siapa yang akan dikahwini, dijadikan pasangan temu janji atau hubungan intim.

"Saya baru berkahwin, baru enam bulan," kata Albanese, namun Osborne terus mendesaknya untuk membuat pilihan.

"Oh, Kylie, sudah tentu," jawab beliau.

Osborne kemudian bertanya sama ada beliau akan mengahwini, menjalinkan hubungan atau melakukan ketiga-tiganya dengan Minogue.

"Semuanya sekali. Dia memang hebat," kata Albanese.

Dalam podcast sama, Osborne turut mengajukan soalan bersifat peribadi mengenai kehidupan rumah tangga Albanese bersama isterinya, Jodie Haydon.

Albanese menjawab secara berseloroh bahawa mereka masih mempunyai masa untuk kehidupan romantik apabila keadaan mengizinkan.

"Selepas perlawanan bola. Kemenangan Souths sentiasa menjadi pembangkit semangat," katanya, merujuk kepada pasukan liga ragbi South Sydney Rabbitohs.

Kenyataan tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk Senator Sarah Henderson, Menteri Bayangan bagi Komunikasi dan Keselamatan Digital daripada parti pembangkang Liberal.

Menerusi hantaran di platform X, Henderson menyifatkan komen Albanese dalam podcast itu sebagai tidak menghormati wanita, memalukan rakyat Australia dan menjatuhkan martabat jawatan Perdana Menteri.

Pada Isnin, Albanese mengeluarkan permohonan maaf melalui pejabatnya.

"Saya memohon maaf tanpa sebarang syarat terhadap komen tersebut," katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement