SEREMBAN: Istana Hinggap di sini sekali lagi menjadi tumpuan pada Khamis susulan perkembangan terbaharu dalam kemelut politik Negeri Sembilan yang menyaksikan kedudukan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, masih menjadi tanda tanya.
Perkembangan itu susulan sesi menghadap Ismail dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang dijadual berlangsung petang ini.
Selepas sesi menghadap tersebut, Tuanku Muhriz turut dijadual menerima menghadap beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, serta Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pertemuan itu merupakan sesi menghadap ketiga Ismail dengan Tuanku Muhriz sejak kemelut berkaitan kedudukannya sebagai Menteri Besar tercetus pada 16 November lalu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengumumkan peletakan jawatan Ismail menerusi satu kenyataan pada 16 November.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada keesokan harinya menjelaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ismail pada 20 November lalu turut menghadap Tuanku Muhriz dan menafikan pernah mengemukakan atau bersetuju dengan penyerahan surat peletakan jawatan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak istana sebelum ini menjelaskan Ismail perlu membuktikan bahawa beliau masih mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 36 kerusi.
Kemelut itu turut menyaksikan 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN) memberikan mandat kepada kepimpinan parti untuk menentukan penyelesaian berhubung kedudukan Menteri Besar.