Skip to main content

Malaysia

PRN Sarawak: The Grand Old Lady, telaga minyak yang mengubah wajah Miri

Walaupun tidak lagi beroperasi, The Grand Old Lady kekal sebagai mercu tanda bersejarah yang melambangkan titik permulaan industri petroleum Malaysia. -Foto Astro AWANI
Walaupun tidak lagi beroperasi, The Grand Old Lady kekal sebagai mercu tanda bersejarah yang melambangkan titik permulaan industri petroleum Malaysia. -Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Sejarah industri petroleum moden Malaysia bermula di Miri, Sarawak dengan penemuan telaga minyak komersial pertama negara oleh Shell pada tahun 1910.
  • Telaga Miri No. 1, dikenali sebagai The Grand Old Lady, mencatatkan pengeluaran sekitar 83 tong minyak sehari sebelum operasi dihentikan pada 1972.
  • Monumen ini kini menjadi mercu tanda bersejarah dan simbol transformasi Miri daripada penempatan kecil kepada bandar raya hasil industri minyak dan gas.
Advertisement

MIRI: Ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa sejarah industri petroleum moden Malaysia bermula di Miri, Sarawak, apabila syarikat minyak dan gas Shell menemukan telaga minyak komersial pertama negara di Bukit Kanada.

Penemuan itu sekali gus meletakkan asas kepada perkembangan industri petroleum Malaysia yang menjadi antara pemacu utama ekonomi negara sehingga hari ini.

Di sela-sela liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, kru Astro AWANI turut berkesempatan menelusuri sejarah industri petroleum negara di telaga minyak pertama Malaysia yang kini dikenali sebagai The Grand Old Lady.

Advertisement

Menurut Jabatan Muzium Sarawak, kerja penggerudian telaga minyak pertama negara yang dikenali sebagai Miri No. 1 bermula pada 10 Ogos 1910 sebelum minyak ditemukan pada kedalaman 136 meter pada 22 Disember tahun sama.

Telaga berkenaan kemudiannya mencatatkan pengeluaran kira-kira 83 tong minyak sehari.

Advertisement

Perkembangan industri itu menyaksikan eksport minyak mentah bermula pada 1913, diikuti pembukaan kilang penapisan minyak pertama Malaysia di Miri pada 1914.

Struktur menara gerudi bersejarah setinggi 30 meter itu turut melalui pelbagai fasa perkembangan sektor petroleum termasuk ketika Perang Dunia Kedua apabila pejabat Shell di Miri dibom, manakala kilang penapisan di Lutong mengalami kerosakan akibat peperangan.

Peralihan kepada penerokaan minyak luar pesisir kemudiannya menjadi sebahagian daripada perubahan landskap industri petroleum di Sarawak.

Selepas lebih enam dekad beroperasi, pengeluaran minyak di Miri No. 1 akhirnya dihentikan pada 1972.

Walaupun tidak lagi beroperasi, The Grand Old Lady kekal sebagai mercu tanda bersejarah yang melambangkan titik permulaan industri petroleum Malaysia.

Monumen itu juga menjadi saksi kepada transformasi Miri daripada sebuah penempatan kecil kepada bandar raya yang berkembang pesat hasil industri minyak dan gas.

Selain nilai sejarahnya, Bukit Kanada turut menawarkan pemandangan bandar raya Miri dari kawasan tanah tinggi.

Pengunjung juga berpeluang melawat Muzium Petroleum yang terletak berhadapan dengan The Grand Old Lady yang memaparkan sejarah serta perkembangan industri minyak dan gas di Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement