BRUSSELS: Perdana Menteri Belgium Bart De Wever dijadual menghadap Raja Philippe pada pagi Isnin selepas rundingan belanjawan menemui jalan buntu pada malam sebelumnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik agensi berita Belga.
Sekumpulan menteri kanan gagal mencapai persetujuan mengenai belanjawan persekutuan 2027 atau pakej penjimatan sebanyak €10 bilion (AS$11.2 bilion) yang perlu dilaksanakan menjelang 2029 bagi mengurangkan defisit dan hutang awam Belgium.
Rundingan itu berlanjutan hingga awal pagi Isnin.
Menurut sumber yang dipetik Belga, De Wever mungkin mengemukakan peletakan jawatannya. Raja Philippe kemudian boleh menerima atau menolak peletakan jawatan itu, atau meminta beliau terus memegang jawatan sementara keadaan dinilai semula.
De Wever, seorang nasionalis konservatif, mengetuai kerajaan campuran lima parti yang merangkumi pelbagai aliran politik, daripada berhaluan kiri hingga kanan.
Belga melaporkan bahawa rundingan hingga lewat malam gagal merapatkan perbezaan pendirian antara kelompok berhaluan kanan dan kiri tengah dalam kerajaan campuran itu.
Kelompok berhaluan kanan tidak berpuas hati dengan cadangan yang dianggap masih mengandungi "terlalu banyak cukai", manakala kelompok kiri menuntut sumbangan lebih besar daripada golongan yang berkemampuan.
Belgium, antara negara yang mempunyai beban hutang tertinggi dalam Kesatuan Eropah (EU), perlu menjimatkan berbilion euro bagi mematuhi peraturan blok itu mengenai defisit dan hutang.
Pada masa sama, negara itu turut berdepan tekanan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara ketara dalam beberapa tahun akan datang selaras dengan perancangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Kerajaan juga menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada orang ramai dan kesatuan sekerja yang menggerakkan bantahan terhadap langkah penjimatan yang bakal dilaksanakan.
Pada Oktober, kira-kira 40,000 orang menyertai demonstrasi anjuran kesatuan sekerja di Brussels bagi membantah rancangan pemotongan belanjawan.
Dua hari kemudian, satu perarakan berasingan menarik penyertaan sehingga 60,000 penunjuk perasaan yang menggesa kerajaan supaya tidak mengabaikan sasaran iklimnya.
-- BERNAMA-dpa