NEWCASTLE: Perdana Menteri Britain, Andy Burnham, menjadi antara 63,000 peserta yang mengambil bahagian dalam Great North Run di Tyneside hujung minggu lalu, apabila beliau berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 21 kilometer itu dalam masa kurang dua jam.
Acara yang diiktiraf sebagai separuh maraton terbesar dunia itu turut disertai beberapa figura terkenal termasuk bekas personaliti bola sepak, Chris Kamara, dan jurulatih kecergasan popular, Joe Wicks, manakala kapten Newcastle United dan bintang England, Dan Burn, diberi penghormatan membunyikan loceng pelepasan sebagai simbolik permulaan perlumbaan.
Perlumbaan sejauh 21 kilometer itu membawa peserta dari Newcastle merentasi Gateshead dan South Tyneside sebelum menamatkan cabaran di South Shields.
Dalam kategori elit kerusi roda, atlet Britain, David Weir dan Melanie Woods muncul juara masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.
Bagi kategori elit larian, pelari Kenya, Brigid Kosgei menjuarai acara wanita manakala Zouhair Talbi menjuarai kategori lelaki.
Kini memasuki tahun ke-45 penganjuran, Great North Run terus menjadi antara acara larian amal paling berpengaruh di dunia dengan purata kutipan sekitar 25 juta pound bagi tujuan kebajikan setiap kali ia dianjurkan.
Cuaca panas dan cerah menarik puluhan ribu penonton memenuhi laluan perlumbaan bagi memberi sokongan kepada peserta sepanjang acara berlangsung.
Peserta turut disajikan dengan pertunjukan udara pasukan aerobatik Red Arrows yang melakukan lintasan khas di atas Jambatan Tyne ketika acara bermula serta sekali lagi berhampiran garisan penamat di The Leas, South Shields.
Burnham berkata, beliau berpuas hati kerana berjaya menamatkan perlumbaan dalam masa satu jam 57 minit sambil mengumpul dana untuk badan kebajikan Changing Lives yang berpangkalan di kawasan Timur Laut England.
Beliau sebelum ini melancarkan kempen nasional bagi menangani isu gelandangan bersama organisasi berkenaan.
“Anda dapat melihat pelbagai tujuan dan badan kebajikan yang disokong oleh peserta, semuanya bersatu untuk satu matlamat yang lebih besar.
“Hari seperti ini mengingatkan kita betapa baiknya negara ini apabila semua orang berganding bahu.
“Bahagian negara ini sentiasa menyerlah pada hari seperti ini. Kehangatan masyarakat dapat dirasai daripada peserta dan juga mereka yang berdiri di tepi jalan memberi sokongan,” katanya.
Seperti kebiasaan, ramai peserta tampil dengan pelbagai kostum kreatif bagi menarik perhatian serta mengumpul dana untuk tujuan kebajikan.
Sementara itu, Jambatan Tyne yang menjadi ikon acara sedang menjalani projek pemulihan berskala besar, menyebabkan sebahagian strukturnya ditutupi perancah pembinaan.
Beberapa penutupan jalan turut dilaksanakan sepanjang hari bagi melancarkan perjalanan acara, manakala kebocoran paip utama berhampiran bulatan A189 Redheugh Bridge menyebabkan gangguan trafik di sekitar Gateshead.
Pada Sabtu, acara Mini dan Junior Great North Run turut berlangsung di Quayside, Newcastle yang menyaksikan penyertaan kira-kira 13,000 kanak-kanak dan remaja dalam perlumbaan melibatkan jarak antara 50 meter hingga empat kilometer.
Menurut penganjur, edisi tahun ini merupakan penganjuran terbesar dalam sejarah 40 tahun acara kategori Mini dan Junior.
Mereka menjelaskan, acara itu memberi peluang kepada golongan muda merasai pengalaman Great North Run, mencipta kenangan istimewa, menikmati kemeriahan suasana perlumbaan serta merasai sendiri cabaran yang dihadapi peserta acara utama.
Pingat rasmi Great North Run 2026 pula direka oleh artis tempatan, Alex Mulholland atau lebih dikenali sebagai Mul, yang menampilkan imej ikonik Jambatan Tyne.
Menurut beliau, reka bentuk tersebut meraikan kisah di sebalik setiap peserta serta pelbagai tujuan murni yang menjadi inspirasi mereka untuk menyertai acara berprestij itu. - Agensi