Skip to main content

Dunia

PM Britain Andy Burnham lulus penggunaan pangkalan UK untuk sebahagian serangan AS ke atas Iran

Andy Burnham, British member of parliament (MP) for Makerfield, arrives for a radio interview on LBC's "Tonight with Andrew Marr", in London, Britain, July 2, 2026. REUTERS/Isabel Infantes/File Photo
Langkah Burnham dijangka menerima kritikan daripada parti pembangkang dan kumpulan yang menentang penglibatan Britain dalam konflik berkenaan. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

LONDON: Perdana Menteri baharu Britain, Andy Burnham, meluluskan penggunaan beberapa pangkalan tentera United Kingdom (UK) oleh Amerika Syarikat (AS) bagi menyokong serangan yang disifatkan London sebagai operasi “pertahanan” terhadap Iran, menurut beberapa laporan media.

Keputusan itu meneruskan dasar yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Keir Starmer, ketika Washington meningkatkan operasi ketenteraannya terhadap Iran di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

Menurut sumber yang dipetik Bloomberg, menteri kanan dan pegawai keselamatan Britain dalam mesyuarat yang dipengerusikan Starmer minggu lalu memutuskan untuk mengekalkan dasar sedia ada yang membenarkan pesawat tentera AS menggunakan kemudahan British bagi misi yang bertujuan menangkis ancaman peluru berpandu Iran dan melindungi laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Burnham, yang secara rasmi mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Isnin, dimaklumkan mengenai keputusan itu dan bersetuju untuk meneruskannya.

Antara pangkalan yang boleh digunakan termasuk Diego Garcia di Lautan Hindi dan RAF Fairford di Gloucestershire, England, yang merupakan kemudahan penting bagi operasi tentera AS di rantau berkenaan.

Keputusan tersebut dibuat ketika operasi ketenteraan AS terhadap Iran memasuki hari ke-10. Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan pihaknya telah melancarkan serangan ke atas pusat arahan tentera, tapak pelancaran dan sistem pertahanan udara Iran.

Bagaimanapun, langkah Burnham dijangka menerima kritikan daripada parti pembangkang dan kumpulan yang menentang penglibatan Britain dalam konflik berkenaan.

Parti Hijau dan Liberal Demokrat dilaporkan berpendapat penggunaan pangkalan tentera UK oleh AS boleh menjadikan London terlibat secara tidak langsung dalam tindakan ketenteraan yang kontroversi.

Pada masa sama, beberapa pegawai Britain dilaporkan bimbang mengenai implikasi undang-undang sekiranya AS memperluaskan serangan kepada sasaran infrastruktur awam Iran, susulan ancaman Presiden Donald Trump sebelum ini terhadap beberapa kemudahan strategik negara itu.

Terdahulu, Burnham mengadakan perbualan telefon pertama dengan Trump selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Menurut pejabat Burnham, kedua-dua pemimpin antara lain membincangkan keselamatan perkapalan di Selat Hormuz serta kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara.

Perkembangan itu berlaku ketika konflik antara AS dan Iran terus meningkat, dengan Washington dan Tehran saling mengeluarkan ancaman di tengah usaha diplomatik yang masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian segera.
 

 

Must Watch Video

Advertisement