HELSINKI: Perdana Menteri Finland Sanna Marin mengumumkan pada Rabu bahawa dia dan suami telah memfailkan perceraian.

Beliau bagaimanapun memaklumkan masih berkawan baik dengan pasangannya Markus Raikkonen yang turut berkongsi pengumuman sama di akaun Instagram.

"Kami telah memfailkan penceraian.

"Kami bersyukur sepanjang tempoh 19 tahun bersama," kata Marin di Instagram Story.

Marin yang akan melepaskan jawatan selepas kalah dalam pilihan raya umum berkata mereka akan terus meluangkan masa bersama sebagai sebuah keluarga.

Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun.

Pada April, parti Demokrat Sosial Marin jatuh ke tempat ketiga dengan 43 daripada 200 kerusi Parlimen.

Marin yang kini berusia 37 tahun menjadi ketua kerajaan paling muda di dunia pada 2019.

Popularitinya meningkat ketika pandemik COVID-19, melonjak reputasinya sebagai pemimpin krisis yang tegas.

Namun, pada Ogos 2022, sebuah video membabitkan dirinya tersebar di media sosial.

Video menunjukkan Marin berpesta dengan sekumpulan selebriti Finland menjadi tajuk berita di seluruh dunia, mendorongnya untuk menjalani ujian saringan dadah demi membersihkan namanya.

Kerajaan pimpinan Marin telah meletak jawatan secara rasmi namun akan terus berkhidmat secara sementara sehingga pembentukan dan pelantikan kerajaan baharu.