BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq Ali al-Zaidi, mengesahkan pada Khamis pengunduran sepenuhnya dan secara muktamad pasukan gabungan diketuai Amerika Syarikat (AS) dari Iraq, sambil mengisytiharkan pencapaian penuh kedaulatan negara, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan yang ditujukan kepada rakyat, al-Zaidi berkata 1 Oktober menandakan permulaan “bab baharu dalam perjalanan Iraq”.
Beliau turut berkata 1 Oktober menandakan permulaan proses menangani isu senjata yang berada di luar kawalan negara berdasarkan satu pelan tindakan yang akan diselesaikan menjelang 30 Jun 2027.
“Kerajaan akan berusaha ke arah pelucutan senjata sepenuhnya semua kumpulan bersenjata bukan Iraq yang berada di wilayah Iraq, dengan cara yang melindungi keselamatan dan kestabilan negara serta memastikan kawalan terhadap sempadannya,” kata al-Zaidi.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas beliau mengumumkan secara rasmi berakhirnya misi ketenteraan gabungan diketuai AS di Iraq.
Gabungan diketuai AS itu ditubuhkan pada 2014 untuk membantu pasukan Iraq memerangi kumpulan Daesh selepas kumpulan berkenaan menawan kawasan yang luas di Iraq dan Syria.
Pasukan Iraq, dengan sokongan gabungan itu, kemudiannya berjaya menewaskan penguasaan wilayah kumpulan berkenaan di Iraq pada 2017 manakala gabungan itu meneruskan operasi terhadap saki-baki anggota Daesh.
--BERNAMA-XINHUA