Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini mengumumkan barisan Kabinet baharu Singapura bagi Parlimen ke-13 yang menyaksikan pertukaran kepimpinan di kebanyakan kementerian.

Diketuai oleh Lee, Kabinet baharu itu terdiri daripada 20 Menteri, yang memperkenalkan tiga Menteri Penyelaras iaitu Teo Chee Hean dan Tharman Shanmugaratnam, kedua-duanya kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Khaw Boon Wan, yang juga menjadi Menteri Pengangkutan.

Teo yang akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri akan menjadi Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional, Tharman (Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Sosial) dan Khaw (Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur).

Kabinet baru ini disusun berikutan Pilihan Raya Umum (PRU) 2015 pada 11 Sept lepas dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mencapai kemenangan besar dengan meraih hampir 70 peratus undi popular.

Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Perdagangan dan Industri kini mempunyai dua Menteri penuh untuk menjaga aspek-aspek berasingan dalam kementerian.

Kabinet baharu itu turut menampilkan beberapa muka baharu termasuk bekas panglima angkatan pertahanan Ng Chee Meng yang menjadi Pemangku Menteri Pendidikan bertanggungjaab bagi hal ehwal sekolah termasuk pendidikan di tahap kolej junior.

Ong Ye Kung ialah Pemangku Menteri Pendidikan bertanggungjawab bagi perkara berhubung pendidikan dan kemahiran tinggi, menjaga Institut Pendidikan Teknikal, politeknik, institut pendidikan swasta serta soal kenaikan taraf serta latihan tenaga kerja.

Bagi Perdagangan dan Industri, Lim Hng Kiang akan menjadi Menteri (Perdagangan), S Iswaran - Menteri (Industri), Dr Koh Poh Koon - Menteri Negara mulai 1 Jan, 2016.

Antara Menteri yang bertukar portfolio ialah Dr Vivian Balakrishnan (Hal Ehwal Luar), K Shanmugam (Menteri Dalam Negeri), Heng Swee Keat (Kewangan), Lawrence Wong (Pembangunan Nasional) dan Masagos Zulkifli (Alam Sekitar dan Sumber Air).

Upacara mengangkat sumpah Kabinet baharu berlangsung 1 Okt, 2015 di Istana.