BANGKOK: Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon akan melakukan lawatan rasmi ke Thailand dari 16 hingga 18 April ini untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu susulan jemputan rakan sejawatnya Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin yang antaranya turut melibatkan pertemuan dua hala antara Luxon dan Srettha.

Ia berkata pertemuan itu mencerminkan hubungan yang rapat dan mesra antara Thailand dan New Zealand.

"Lawatan itu juga akan menyediakan peluang untuk Thailand dan New Zealand mengeratkan kerjasama dalam semua bidang, terutamanya dalam pertahanan dan keselamatan, ekonomi, tenaga bersih, inovasi, pendidikan dan kebudayaan selain daripada kerjasama antara rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ia berkata antara perkara utama dalam lawatan itu ialah penandatanganan Memorandum Persefahaman antara agensi Thailand dan New Zealand selain daripada kunjungan hormat delegasi New Zealand ke atas Perdana Menteri Thailand.

Kementerian Luar Thailand juga berkata lawatan itu merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri New Zealand ke Thailand dalam tempoh 11 tahun. - BERNAMA