RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin Mohammed Ishtaye pada Jumaat menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksana inisiatif keamanan di Timur Tengah bagi menamatkan konflik dengan Israel.

Ishtaye membuat kenyataan itu dalam mesyuarat maya anjuran Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB bagi Asia Barat (ESCWA) di ibu pejabat PBB di New York sempena Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin, menurut Xinhua.

Beliau menggesa anggota PBB menyokong permohonan Palestin mendapatkan keahlian penuh dalam PBB, memberi tekanan kepada Israel untuk membenarkan pilihan raya umum diadakan di Palestin selain meminta Israel bertanggungjawab ke atas jenayah yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin.

Palestin mahu menubuhkan sebuah negara merdeka bersama Israel di wilayah Palestin yang diduduki oleh Israel pada 1967 termasuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Pada Selasa, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengulangi pendirian PBB mengenai penyelesaian dua negara pada Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin.

"Pendirian PBB jelas: keamanan mesti dteruskan, pendudukan mesti ditamatkan. Kami teguh dalam komitmen kami untuk merealisasikan visi dua negara -- Israel dan Palestin -- hidup berdampingan dalam keadaan aman dan selamat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara," katanya menerusi satu mesej.

-- BERNAMA