BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha menggariskan tiga keutamaan untuk memperkukuh serta memperkasa lagi hubungan ASEAN dan China dalam mewujudkan perkongsian strategik komprehensif.

Berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China menerusi persidangan video, beliau mengetengahkan pembangunan berpaksikan rakyat ke arah menuju dekad baharu keselamatan, kemakmuran dan kemampanan.

Beliau mengulangi wawasan pembangunan negara berpaksikan rakyat bertujuan meningkatkan kualiti hidup dan kapasiti rakyat untuk bersedia mendepani Abad ke-21 di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan pelbagai cabaran lain.

"ASEAN boleh berkongsi dan belajar daripada pencapaian China dalam beberapa aspek, seperti pertanian mampan termasuk dalam pembuatan, pemprosesan dan nilai tambah bagi produk pertanian.

"ASEAN boleh bertukar-tukar maklumat daripada pencapaian China mengenai membasmi kemiskinan dan keselamatan makanan melalui Dasar 'Clean Plate'," katanya.

Mengenai keselamatan ekonomi, Prayuth mencadangkan supaya menumpukan kerjasama dalam meningkatkan daya tahan sosioekonomi di peringkat akar umbi.

Ia termasuk mereformasi proses pembelajaran dan membangunkan potensi manusia merentas semua peringkat umur dengan menggunakan sains, teknologi dan inovasi untuk menggalakkan pembangunan sosioekonomi yang pesat.

Beliau turut mengulangi mengenai keperluan pengukuhan kapasiti sektor perniagaan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), usahawan wanita dan kumpulan rentan bagi persiapan menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat dan transformasi digital.

Prayuth juga menegaskan komitmen Thailand untuk meneruskan peranan proaktif dalam memajukan kerjasama pembangunan mampan dan mesra alam di peringkat serantau serta global.

"Thailand mencadangkan Bio-Circular-Green Economic Model sebagai satu daripada pendekatan untuk mencapai matlamat tersebut.

"Thailand bersedia sepenuhnya untuk membuat kemajuan dalam menangani perubahan iklim dengan apa jua cara untuk mencapai bebas karbon menjelang 2050 dan pelepasan sifar bersih menjelang 2065," katanya.

Sementara itu, Prayuth juga menegaskan ASEAN dan China mesti mengekalkan keamanan, kestabilan serta keseimbangan strategik serantau berpaksikan ASEAN dan menggalakkan kedamaian serta kestabilan di rantau ini, terutamanya membabitkan hubungan kuasa utama.

Thailand komited untuk meneruskan peranan konstruktifnya dalam menggalakkan kerjasama sama menang selain menyokong pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan dan rumusan awal Kod Tatalaku di Laut China Selatan.

-- BERNAMA