INTERNATIONAL
Polis Belanda tahan kumpulan penjenayah letupkan mesin ATM di empat negara

Kumpulan itu dipercayai bertanggungjawab ke atas beberapa siri letupan ATM, terutamanya di Jerman. - Reuters
THE HAGUE: Siasatan antarabangsa membawa kepada penahanan sekumpulan penjenayah yang dipercayai terlibat dalam siri letupan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Belanda.
Menurut polis pada Selasa, seramai 18 suspek yang kebanyakannya warga Belanda telah ditahan, lapor agensi berita Jerman dpa.
Kumpulan itu dipercayai bertanggungjawab ke atas beberapa siri letupan ATM, terutamanya di Jerman. Terbaru, lima lelaki berusia antara 20 hingga 48 tahun ditahan di wilayah Utrecht dan Amsterdam. Tangkapan lain pula dibuat beberapa hari sebelum itu.
Dalam operasi geledah, polis merampas wang tunai berjumlah kira-kira EUR360,000 (sekitar AS$410,000), selain mata wang kripto yang kini dianggarkan bernilai lebih EUR600,000.Pasukan penyiasat turut merampas peralatan yang digunakan dalam serangan tersebut, termasuk bahan letupan, nombor pendaftaran palsu, mesin pengira wang dan beberapa buah kereta. Polis juga menemukan 12 tong petrol dalam sebuah kenderaan.
Rentetan letupan ATM di beberapa lokasi di Jerman mendorong agensi jenayah Kesatuan Eropah (Europol) menubuhkan pasukan khas bersama penyiasat dari Jerman dan Belanda. Kumpulan yang berpangkalan di Utrecht itu disyaki menjalankan operasi serangan tersebut.
Mereka dipercayai memindahkan aktiviti ke seberang sempadan di Jerman selepas pihak bank di Belanda mempertingkat langkah keselamatan pada mesin ATM. Namun, kumpulan ini juga dipercayai bertanggungjawab terhadap letupan ATM di Switzerland, Perancis dan Austria.
Polis menggambarkan kumpulan ini sebagai ganas dan sangat profesional. Letupan bukan sahaja memusnahkan ATM, malah turut merosakkan bangunan dan membahayakan orang awam. Penjenayah biasanya melarikan diri pulang ke Belanda menggunakan kereta berkuasa tinggi.
Kumpulan itu menyebabkan kerosakan mencecah sekurang-kurangnya EUR1.5 juta di beberapa negeri di Jerman dan melarikan wang berjumlah kira-kira EUR1.2 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami