ANKARA: Kegiatan sekumpulan individu mencuri, memiliki, memperoleh dan menjual data peribadi milik 669 juta individu dan organisasi tumpas apabila ditahan di Telangana di selatan India.

Pegawai kanan polis Telangana, Kalmeshwar Shingenavar memberitahu Agensi Anadolu melalui telefon bahawa polis telah menahan 10 suspek di tiga negeri.

"Data berkenaan kebanyakkannya digunakan untuk tujuan pemasaran, iklan dan jenayah siber.

"Ia merupakan kecurian data terbesar yang berjaya ditumpaskan setakat ini," katanya.

Siasatan kini tertumpu kepada bagaimana suspek memperoleh akses kepada data berkenaan.

Pihak polis turut melakukan siasatan membabitkan beberapa syarikat untuk mengetahui bagaimana data berkenaan dicuri daripada pangkalan data mereka.

Menurut polis Cyberabad, kumpulan berkenaan terlibat dalam jenayah siber di 24 negeri dan lapan bandar metropolitan.

Tertuduh memiliki data daripada pelbagai sumber, termasuk syarikat ed-tech terbesar India Byjus, platform tutorial dalam talian Vedantu, Amazon, Netflix, penyedia pembayaran mudah alih terbesar India seperti Paytm, dan Phonepe.

"Kesemua data yang dicuri membabitkan 135 kategori yang mengandungi maklumat sensitif kerajaan, organisasi swasta, dan individu, manakala polis turut merampas dua telefon bimbit, dua komputer riba dan data ketika operasi," menurut satu kenyataan polis.

Suspek juga didapati "beroperasi melalui laman sesawang yang dipanggil 'InspireWebz' yang berpangkalan di Faridabad, Haryana, dan menjual pangkalan data kepada pelanggan melalui pautan 'cloud drive'."

--BERNAMA-ANADOLU