Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Hampir 80 peratus keperluan rakyat Ayer Limau dilaksana - Hameed

Dalam aspek kebajikan dan infrastruktur, Hameed berkata kerja-kerja penambahbaikan jalan, longkang dan kemudahan asas terus dilaksanakan mengikut keperluan penduduk. - Foto Astro AWANI/Firdaus Mohari
Dalam aspek kebajikan dan infrastruktur, Hameed berkata kerja-kerja penambahbaikan jalan, longkang dan kemudahan asas terus dilaksanakan mengikut keperluan penduduk. - Foto Astro AWANI/Firdaus Mohari
Advertisement

ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata hampir 80 peratus keperluan dan kehendak rakyat di kawasan itu telah dilaksanakan sepanjang tempoh beliau menjadi wakil rakyat.

Beliau berkata pencapaian itu bukan semata-mata digerakkan ketika musim pilihan raya, sebaliknya hasil pelaksanaan program dan penyelesaian isu rakyat secara berterusan sejak 2022.

Katanya, perkara berkenaan penting sebagai ukuran kepada rakyat dalam menilai prestasi wakil rakyat sepanjang tempoh empat tahun lalu sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Advertisement

"Hampir 80 peratus kemahuan dan kehendak rakyat melalui program Wakil Rakyat Untuk Rakyat dan Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (Hebat) dapat dilaksanakan, dapat ditunaikan.

"Ada yang separuh-separuh, kita tidak ketepikan, tetapi kita bawa kepada perancangan masa depan untuk menyelesaikan isu rakyat," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Hameed berkata tumpuan beliau sepanjang penggal lalu turut diberikan kepada golongan muda menerusi lapan modul pendidikan meliputi perkhemahan, sukan, kem subjek, teknik menjawab peperiksaan, pendedahan ke pusat pengajian tinggi, kem sains dan bahasa.

Katanya, peluang pendidikan dan pekerjaan juga diperluas menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Jom Masuk Universiti dan Job Fair, selain penyediaan kemudahan sukan bagi menggalakkan golongan muda menjalani aktiviti sihat.

"Dalam penggal ini sahaja saya dapat membina hampir tujuh buah dewan terbuka untuk anak muda dan kita mula menaik taraf padang-padang bola serta gelanggang sepak takraw dan gelanggang terbuka untuk anak muda beriadah," katanya.

Dalam aspek kebajikan dan infrastruktur, Hameed berkata kerja-kerja penambahbaikan jalan, longkang dan kemudahan asas terus dilaksanakan mengikut keperluan penduduk.

Beliau berkata isu banjir antara perkara yang masih diberi perhatian, dengan kira-kira 70 hingga 80 peratus masalah berkenaan berjaya dikurangkan berbanding ketika beliau mula mengambil alih kawasan itu.

"Antara isu utama adalah isu banjir. Saya menghadapi isu besar melibatkan 600 rumah dilanda banjir.

"Alhamdulillah hari ini saya tidak nafikan masih lagi ada banjir, tetapi telah merosot begitu banyak. Boleh juga saya cakap 70 hingga 80 peratus isu banjir dapat diselesaikan," ujarnya lagi.

Menurutnya, beberapa langkah susulan sedang dirancang termasuk kerja mendalam dan melebarkan tali air di jajaran Sungai Ramuan China Besar, selain penggantian lapan crossing culvert di kawasan Ayer Limau Bukit Apit.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan pembangunan pendidikan dan pelancongan di Ayer Limau, termasuk pembangunan Sekolah Menengah Sains Agama yang dijangka siap pada penghujung 2027 serta projek menaik taraf kawasan pelancongan berkaitan industri udang galah.

Must Watch Video

Advertisement