KOTA BHARU: Seorang peniaga ayam sejuk beku di Pasir Tumboh, di sini, disyaki memperoleh bekalan antara 300 hingga 500 kotak daripada seorang pembekal di Thailand, sebelum menjualnya di premis borong miliknya.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata perkara itu diketahui, susulan penahanan lelaki berusia 38 tahun dalam serbuan Ops Salju Mega di sebuah premis di Jalan Pasir Puteh, Kampung Pasir Tumboh, kira-kira 12 tengah hari semalam.
Beliau berkata suspek lelaki itu turut mendakwa bekalan ayam sejuk beku berkenaan dibawa masuk ke negara ini secara sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sebelum dipasarkan di kedai borong miliknya.
“Susulan pemeriksaan yang dijalankan, pasukan operasi menemukan 209 kotak ayam sejuk beku seberat 2,508 kilogram bernilai RM42,845 yang disimpan di dalam sebuah kontena sejuk beku di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ahmad Radzi berkata serbuan dilaksanakan Cawangan Risik Batalion 8 PGA dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Beliau berkata pemeriksaan mendapati lelaki itu gagal mengemukakan dokumen perniagaan, pemilikan dan kebenaran menyimpan yang sah bagi bekalan ayam sejuk beku berkenaan.
Sehubungan dengan itu, MPKB-BRI mengeluarkan notis kesalahan serta tawaran kompaun terhadap lelaki terbabit kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, selain kesalahan membuang kekotoran di tempat awam.
Ahmad Radzi berkata lelaki itu bersama dengan barang rampasan diserahkan kepada MPKB-BRI untuk tindakan lanjut, manakala dokumen berkaitan turut dipanjangkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan.
Beliau berkata kegiatan perniagaan tanpa lesen bukan sahaja menyukarkan pemantauan pihak berkuasa, malah berpotensi menyebabkan ketirisan hasil kerajaan negeri melalui kehilangan kutipan fi lesen dan bayaran berkaitan.
“Keadaan ini juga boleh mewujudkan persaingan tidak adil kepada peniaga yang mematuhi peraturan, selain menjejaskan keberkesanan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau berkata pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kegiatan perniagaan mematuhi syarat pelesenan serta tidak menjejaskan kebersihan, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA