Polis Korea Selatan mohon waran tangkap terhadap 58 suspek kes penipuan

Kesemua suspek yang dihantar pulang dari Kemboja itu disyaki terlibat dengan pelbagai kes penipuan dalam talian. - Foto: Yonhap via Bernama
SEOUL: Polis Korea Selatan pada Isnin berkata mereka telah memohon waran tangkap terhadap 58 suspek yang dihantar pulang dari Kemboja kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kes penipuan dalam talian, lapor Agensi Berita Yonhap.
Seramai 64 suspek telah diterbangkan pulang dari Kemboja pada Sabtu lepas, dan seorang daripada mereka ditahan serta-merta selepas waran tangkap dikeluarkan lebih awal.
Daripada baki 63 suspek, empat telah dibebaskan tidak lama kemudian, manakala seorang lagi dibebaskan selepas pihak pendakwaan menolak permohonan polis untuk mengeluarkan waran tangkap, menurut Agensi Polis Kebangsaan (NPA).
Mahkamah dijadualkan mengadakan prosiding permohonan waran tangkap bagi kebanyakan daripada 58 suspek yang masih ditahan, dengan keputusan dijangka diketahui seawal petang Isnin.Mengikut kawasan, 45 suspek disiasat oleh pejabat NPA Wilayah Chungcheong Selatan, manakala 15 lagi oleh pejabat Wilayah Gyeonggi Utara, termasuk mereka yang telah dibebaskan.
Empat suspek lain masing-masing sedang disiasat oleh pejabat di Daejeon, Gimpo dan Wonju serta pejabat Seodaemun di Seoul.
Pejabat Chungcheong Selatan telah menjalankan siasatan terhadap kes penipuan termasuk penipuan cinta yang berlaku antara hujung tahun lepas hingga Julai lalu, manakala pejabat Gyeonggi Utara menyiasat kes penipuan cinta yang berlaku antara Mac dan April tahun ini.
Sejak pihak berkuasa Kemboja memaklumkan polis Korea Selatan mengenai tindakan tegas mereka terhadap pusat panggilan pemancingan suara (voice phishing) dari Julai hingga September serta penahanan warga Korea Selatan yang disyaki terlibat, NPA telah menugaskan pejabat Chungcheong Selatan dan Gyeonggi Utara sebagai agensi utama penyiasatan kes berkenaan.
Polis berkata beberapa suspek yang dihantar pulang memberitahu penyiasat bahawa mereka telah ditahan dan dipukul oleh anggota sindiket penipuan di Kemboja.
Kesemua 64 suspek telah menjalani ujian dadah dengan persetujuan mereka, dan kesemuanya didapati negatif, menurut polis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami