SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) memeterai satu perjanjian pada Jumaat bagi memperdalam kerjasama dalam membanteras kes penipuan dalam talian dan siber serta pengubahan wang haram.
SPF berkata perjanjian berkenaan mencerminkan kerjasama teguh dan berterusan yang terjalin sekian lama bersama FBI, menerusi penglibatan kedua-dua agensi dalam operasi bersama, perkongsian maklumat, latihan, pembinaan keupayaan serta bantuan bersama bagi menangani jenayah rentas sempadan.
"Penandatanganan memorandum persefahaman ini melambangkan tekad bersama serta pengukuhan rakan kerjasama antara SPF dan FBI untuk memintas dan memutus rangkaian sindiket jenayah yang menyasarkan rakyat masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
SPF menyoroti bahawa kedua-dua agensi berkongsi nilai serta objektif yang sama dan telah bekerjasama rapat dalam pelbagai inisiatif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Paling terkini pada Julai 2026, Pusat Kawalan Siber SPF dan FBI berjaya menyempurnakan operasi bersama yang menyasarkan penipuan mata wang kripto rentas sempadan yang menjejaskan mangsa di Singapura dan AS.
"Menerusi perkongsian maklumat dan pertukaran risikan blok rantaian, SPF dan FBI telah mengenal pasti 54 mangsa dan mangsa yang berpotensi untuk ditipu, serta bekerjasama bagi mengelakkan kerugian berjumlah AS$2.7 juta (AS$1=RM4.09) di AS dan S$388,000 (S$1=RM3.16) di Singapura," katanya.
-- BERNAMA