DUNIA
Polis UK tahan 466 individu dalam protes sokong Palestine Action di London

Anggota polis menahan penunjuk perasaan ketika perhimpunan anjuran Defend Our Juries bagi membantah tindakan kerajaan Britain mengharamkan Palestine Action di London, pada Sabtu. - Gambar Reuters
LONDON: Polis Metropolitan menahan sekurang-kurangnya 466 individu susulan penyertaan mereka dalam protes di Dataran Parlimen, London, bagi menyatakan sokongan terhadap kumpulan Palestine Action yang bulan lalu diisytiharkan sebagai “organisasi pengganas” oleh kerajaan Britain.
Menurut kenyataan polis, kesemua tangkapan dibuat sehingga jam 9 malam waktu tempatan (8 malam GMT) pada Sabtu atas alasan “menunjukkan sokongan terhadap Palestine Action.”
“Walaupun memakan masa, kami akan menangkap sesiapa sahaja yang menunjukkan sokongan terhadap Palestine Action,” kata Polis Metropolitan menerusi hantaran di platform X.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan polis mengusir penunjuk perasaan yang duduk di kawasan berkenaan sambil memegang plakad bertulis: “Saya menentang pembunuhan beramai-ramai. Saya menyokong Palestine Action.”.Pertubuhan advokasi Defend Our Juries yang menganjurkan perhimpunan itu berkata, mereka “secara kolektif menentang pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan pengharaman Palestine Action.”
Tangkapan terbaharu ini berlaku susulan siri bantahan terhadap keputusan kerajaan mengharamkan Palestine Action, langkah yang menurut pengkritik mengekang kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun, selain bertujuan menyekat demonstrasi menentang perang Israel di Gaza.
Di bawah Akta Keganasan 2000, menjadi ahli atau menyokong kumpulan itu kini merupakan kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun.
Wartawan Al Jazeera, Sonia Gallego, yang membuat liputan di Dataran Parlimen berkata, ancaman tangkapan tidak menghalang penyokong Palestine Action daripada menyatakan pendirian mereka.
“Sesederhana memakai baju-T bertulis ‘Saya menyokong Palestine Action’, atau menulisnya pada sekeping kertas, boleh mengundang penangkapan,” jelasnya.
Seorang peserta, Paddy Friend, mempersoalkan makna sebenar kebebasan bersuara di UK.
“Jika kami tidak dibenarkan duduk senyap sambil memegang papan tanda tujuh perkataan, apa ertinya kebebasan bersuara?” katanya.
Seorang lagi penunjuk perasaan, nenek bernama Manji Mansfield, kembali menyertai protes walaupun pernah ditahan sebelum ini. “Ini bukan Britain yang saya kenal. Sekarang kita hidup dalam dunia yang berbeza, dan saya tidak akan menerimanya,” tegasnya.
Sejak larangan itu berkuat kuasa pada Julai lalu, lebih 200 orang telah ditahan dalam siri demonstrasi di seluruh UK.
Minggu ini, lebih 350 ahli akademik antarabangsa menandatangani surat terbuka menyokong “kempen penentangan kolektif” terhadap keputusan Setiausaha Dalam Negeri, Yvette Cooper yang mengisytiharkan pengharaman Palestine Action.
Surat itu menyatakan kebimbangan terhadap kesan penindasan akibat larangan tersebut, khususnya terhadap kebebasan akademik di universiti-universiti UK dan luar negara.
Antara yang menandatangani termasuk sejarawan Israel merangkap profesor di Universiti Exeter, Ilan Pappe; profesor di Goldsmiths, Eyal Weizman serta pemikir politik, Michael Hardt dan Jacqueline Rose.
Pada Sabtu, perarakan berasingan anjuran kumpulan Palestine Coalition turut diadakan dari Russell Square ke Whitehall, dengan polis mengesahkan seorang individu ditahan kerana memaparkan kain rentang menyokong Palestine Action.
Amnesty International UK mengecam tindakan menahan penunjuk perasaan aman hanya kerana memegang papan tanda, sambil menyifatkannya sebagai “pelanggaran terhadap kewajipan antarabangsa UK untuk melindungi hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman”.
Ahli Parlimen Parti Buruh, John McDonnell, turut mengkritik tindakan itu di X, menyifatkan ia “memalukan apabila rakyat ditahan kerana mempertahankan hak demokratik mereka.”
Palestine Action sebelum ini sering menyasarkan syarikat berkaitan Israel di UK dengan menyembur cat merah, menghalang pintu masuk atau merosakkan peralatan.
Kumpulan itu menuduh kerajaan UK bersekongkol dalam jenayah perang Israel di Gaza, yang menyaksikan puluhan ribu rakyat Palestin terkorban sejak serangan bermula pada Oktober 2023.
Pengharaman itu diumumkan selepas kumpulan tersebut menceroboh pangkalan udara tentera di Brize Norton pada Jun lalu dan merosakkan dua pesawat Airbus Voyager yang digunakan untuk mengisi minyak di udara.
Jurucakap Palestine Action, Manaal Siddiqui memberitahu Al Jazeera, pesawat tersebut “pernah digunakan untuk mengisi minyak jet pejuang Israel.”
Menurut kumpulan itu, pesawat dari Brize Norton juga beroperasi ke pangkalan Tentera Udara British di Cyprus sebelum dihantar untuk mengumpul risikan yang kemudian dikongsi dengan kerajaan Israel.
Kerajaan Britain pada Julai lalu mengambil langkah mengisytiharkan Palestine Action sebagai pertubuhan pengganas selepas kumpulan itu mengaku bertanggungjawab merosakkan dua pesawat di Pangkalan Udara RAF Brize Norton pada 20 Jun lalu.
Dengan pengharaman itu, keahlian atau sokongan terhadap Palestine Action kini menjadi satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami