JERUSALEM: Presiden Israel, Isaac Herzog, pada Sabtu memilih Gadi Eisenkot, pesaing utama Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk cuba membentuk kerajaan baharu susulan keputusan pilihan raya yang menyaksikan tiada pihak memperoleh laluan jelas ke tampuk kuasa.
Netanyahu, pemimpin paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, sedang berusaha mempertahankan kedudukannya selepas gabungan agama-nasionalis pimpinannya kehilangan majoriti dalam pilihan raya 27 Oktober lalu, meskipun masih muncul sebagai blok terbesar di parlimen.
Jurucakap presiden memaklumkan, Herzog telah menjemput Eisenkot ke kediaman rasmi presiden untuk diberi mandat membentuk kerajaan.
Mengikut sistem politik Israel, presiden berperanan menamakan calon yang mempunyai peluang terbaik untuk membentuk gabungan pentadbiran selepas pilihan raya.
Menerusi platform X, Eisenkot berkata, sudah tiba masanya untuk membentuk "kerajaan kecemasan nasional".
"Kini tiba masanya untuk membentuk kerajaan kecemasan nasional. Saya akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan kami layak memikul amanah itu," katanya.
Bekas panglima tentera berusia 66 tahun itu dijangka berdepan rundingan panjang dan rumit.
Beliau mempunyai tempoh 28 hari untuk membentuk kerajaan, dengan kemungkinan lanjutan selama 14 hari lagi.
Antara pilihan yang boleh diterokainya termasuk membentuk kerajaan minoriti dengan sokongan parti-parti Arab dalam isu tertentu, menjalin kerjasama dengan parti ultra-Ortodoks yang sebelum ini ditolak beliau dan sekutunya, atau mewujudkan kerajaan perpaduan bersama Netanyahu.
Bagaimanapun, penganalisis berpendapat, ketiga-tiga pilihan itu sukar direalisasikan memandangkan perbezaan politik yang ketara antara pihak terbabit.
Jika Eisenkot gagal membentuk kerajaan, calon lain boleh diberi peluang sebelum pilihan raya baharu diadakan.
Dalam pilihan raya lalu, parti Likud pimpinan Netanyahu memenangi 27 kerusi daripada 120 kerusi di Knesset, namun keseluruhan gabungan agama-nasionalisnya hanya memperoleh 53 kerusi, kurang daripada 61 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah.
Parti Yashar pimpinan Eisenkot pula muncul sebagai parti kedua terbesar dengan 21 kerusi, manakala gabungannya yang merangkumi empat parti Yahudi dari spektrum tengah kiri hingga kanan memperoleh 48 kerusi.
Pada masa sama, dua parti yang mewakili minoriti Arab Israel meraih rekod 19 kerusi.
Walaupun Eisenkot sebelum ini menolak kerjasama dengan parti-parti Arab, pemimpin Arab tetap mencalonkannya untuk membentuk kerajaan terlebih dahulu kerana menentang dasar yang mereka anggap bersifat perkauman oleh Netanyahu dan sekutu kanan jauhnya.
Anak kepada pendatang Maghribi itu berpotensi menjadi perdana menteri pertama Israel daripada komuniti Mizrahi, iaitu kelompok Yahudi yang berasal dari Asia Barat dan Afrika Utara.
Dikenali sebagai tokoh yang pendiam dan kurang mesra media, Eisenkot hanya menyertai politik pada 2022.
Beliau pernah menganggotai kabinet perang Netanyahu selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 sebelum kembali ke blok pembangkang.
Sejak itu, beliau lantang mengkritik kepimpinan Netanyahu termasuk cara perdana menteri itu mengendalikan kempen ketenteraan di Gaza, serta berikrar tidak akan menyertai kerajaan yang diterajuinya.
Imej awam Eisenkot turut dibentuk oleh pengorbanan peribadi keluarganya apabila seorang anak lelaki dan dua anak saudaranya terbunuh ketika bertempur di Gaza.
Sepanjang kempen pilihan raya, beliau menonjolkan kredibiliti keselamatannya dengan merujuk kepada "Doktrin Dahiyeh", pendekatan ketenteraan yang menekankan tindak balas besar-besaran terhadap serangan musuh, yang pernah digunakannya ketika perang Israel-Hezbollah pada 2006.
Pada masa sama, Eisenkot turut mengkritik keganasan peneroka Yahudi terhadap rakyat Palestin yang meningkat sejak 2023, sekali gus menjejaskan hubungan Israel dengan negara-negara Barat.
Beliau juga menentang dua sekutu kanan jauh Netanyahu, iaitu Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich, yang pernah dikenakan sekatan oleh beberapa negara Barat kerana didakwa menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin. - Agensi