Abdel Fattah al-Sisi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir untuk penggal kedua pada Sabtu ketika kerajaan mengekang pembangkang, susulan kemenangan besar beliau dalam pilihan raya Mac lalu, yang menyaksikan pembangkang utama menarik diri.

Meraikan peristiwa itu, jet pejuang tentera membuat pertunjukan udara dengan mencorakkan asap berwarna merah, putih dan hitam bagi membentuk bendera Mesir sementara helikopter terbang rendah mengiringi konvoi beliau yang sedang bergerak menuju bangunan Parlimen.

"Saya beri jaminan untuk menerima penyokong pembangkang dan mewujudkan persefahaman bersama bagi mencapai konsensus, keamanan sosial dan pembangunan politik sebenar selain pembangunan ekonomi negara kita.

"Saya tidak akan menolak sesiapa dalam ruang kebersamaan ini kecuali mereka yang memilih keganasan dan pemikiran pelampau sebagai cara memperjuangkan kemahuan mereka," kata al-Sisi ketika berucap selepas mengangkat sumpah yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

Beliau bertanggungjawab menjalankan operasi memerangi pembangkang dan pertempuran yang meragut ramai nyawa dengan pemberontak Islam di Semenanjung Sinai, ketika penggal pertama pemerintahannya.

Beliau juga berdepan kesukaran meningkatkan ekonomi kerana terpaksa melaksanakan langkah perjimatan dituntut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk program pinjaman AS$12 bilion (RM47.74 bilion).

Penyokong beliau berkata, dasar kejam beliau perlu untuk melindungi negara itu daripada pergolakan, susulan tunjuk perasaan yang menggulingkan Presiden diktator, Hosni Mubarak, pada 2011.

Pengkritik beliau berkata, al-Sisi mengehadkan peluang demokrasi, sementara reformasi ekonomi termasuk pembatalan subsidi serta peningkatan cukai menyebabkan harga barangan naik serta menjejaskan popularitinya.