Presiden Pezeshkian seru perpaduan global, tegaskan dunia perlu kepercayaan dan keamanan

Pezeshkian hadir pada satu sesi pleno forum sempena Sidang Kemuncak Keamanan dan Kepercayaan Antarabangsa di Pusat Kongres di Ashgabat, Turkmenistan, 12 Dis 2025. REUTERS
TEHRAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian menekankan kepentingan memperluas kefahaman antara negara dan bangsa, sambil menegaskan yang dunia hari ini memerlukan kepercayaan, keamanan dan perpaduan lebih daripada sebelumnya, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).
Pezeshkian, yang berkunjung ke Turkmenistan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan dan Kepercayaan Antarabangsa bertemu dan mengadakan rundingan dengan Pengerusi Majlis Rakyat Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov, di Ashgabat pada Jumaat.
Presiden Iran itu menyampaikan penghargaan kepada Berdimuhamedov atas jemputan rasmi ke sidang kemuncak itu, menyifatkan inisiatif itu sebagai respons terhadap antara keperluan asas dunia masa kini dan menonjolkan yang ia mencerminkan pemahaman mendalam terhadap realiti global semasa.
Pezeshkian berkata, "Kami berbesar hati kerana di bawah kepimpinan anda, pendekatan konstruktif ini berkembang dari Turkmenistan ke kawasan serantau dan seterusnya, membolehkan kita semua mengambil langkah untuk memperkukuh kepercayaan, keamanan dan keselamatan serantau."
Sementara itu, Berdimuhamedov menyatakan kegembiraannya atas kunjungan Pezeshkian ke Ashgabat sambil berkata "keadaan global semasa adalah kompleks dan adalah perlu untuk kita berjumpa lebih kerap serta mengadakan perundingan bersama."
Beliau menyifatkan tahap hubungan dua hala antara Iran dan Turkmenistan sebagai baik, sambil berkata, "Hubungan antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, komersial, kebudayaan dan usaha kemanusiaan, adalah kukuh dan konstruktif. Kami berharap kerjasama ini akan terus berkembang pada masa hadapan."
Presiden Pezeshkian tiba di Ashgabat pada Khamis malam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


