Presiden Turkiye ingatkan Israel agar tidak langgar gencatan senjata

Erdogan berkata, Israel pernah memungkiri janji gencatan senjata sebelum ini, sambil memberi amaran bahawa “kembali kepada suasana pembunuhan beramai-ramai akan membawa akibat yang amat besar.” - Gambar fail Reuters
ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat menegaskan bahawa adalah penting untuk memastikan Israel menunaikan komitmennya terhadap perjanjian gencatan senjata di Gaza, sambil mengalu-alukan perjanjian yang ditandatangani antara Israel dan Hamas di Mesir, lapor Xinhua.
“Perjanjian itu telah ditandatangani dan jalan menuju keamanan berkekalan di Gaza kini terbuka,” kata Erdogan dalam majlis perasmian beberapa projek baharu di wilayah Laut Hitam, Rize, sambil menambah bahawa “perkara paling penting kini ialah memastikan perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.”
Beliau berkata, Turkiye akan memainkan peranan aktif dalam proses pelaksanaan perjanjian itu.
“Kami akan segera menyalurkan bantuan kemanusiaan dari kapal kami yang sedang menunggu di pelabuhan El-Arish, Mesir ke Gaza.”Erdogan berkata, Israel pernah memungkiri janji gencatan senjata sebelum ini, sambil memberi amaran bahawa “kembali kepada suasana pembunuhan beramai-ramai akan membawa akibat yang amat besar.”
“Kami tahu rekod buruk Israel dalam memungkiri janji... oleh itu, kami sedang berusaha mengambil langkah perlu bagi mengelak mereka mengulangi perkara yang sama,” katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami