DUNIA
Program nuklear: Iran tidak akan akur tekanan AS - Presiden Pezeshkian

Iran tidak akan berkompromi dalam apa jua bentuk terhadap hak saintifik, kepakaran dan nuklear negara itu, kata Presiden Pezeshkian. - Gambar fail AP
TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan, Tehran tidak akan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan program nuklearnya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan tuntutan Washington sebagai tidak realistik serta tidak menghormati hak kedaulatan negara itu.
“Kami tidak akan berkompromi dalam apa jua bentuk terhadap hak saintifik, kepakaran dan nuklear kami,” kata Pezeshkian dalam ucapan yang disiarkan secara langsung oleh penyiar rasmi negara itu pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan Iran dijangka menolak cadangan baharu yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat untuk menyelesaikan pertikaian nuklear yang telah berlarutan selama beberapa dekad.Seorang diplomat kanan Iran yang rapat dengan pasukan perunding memberitahu Reuters, cadangan itu 'tidak relevan' dan gagal menangani kepentingan Tehran atau melonggarkan pendirian Washington terhadap pengayaan uranium.
Cadangan tersebut disampaikan oleh Menteri Luar Oman, Sayyid Badr Albusaidi, yang kini bertindak sebagai perantara dalam rundingan tidak langsung antara Tehran dan Washington.
Lima pusingan rundingan telah diadakan sejak April iaitu tiga di Muscat dan dua di Rom antara Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan utusan Timur Tengah Presiden Donald Trump, Steve Witkoff.
Antara isu utama yang masih menjadi halangan ialah penolakan Iran terhadap tuntutan AS supaya menghentikan sepenuhnya aktiviti pengayaan uranium serta keengganan untuk menghantar keluar stok uranium yang telah diperkaya, iaitu bahan mentah yang berpotensi digunakan dalam senjata nuklear.
Pezeshkian turut menegaskan, Iran tidak bercita-cita membangunkan senjata nuklear dan bersedia bekerjasama untuk membuktikan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan keamanan sahaja.
Jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani dalam satu sidang media berkata, Iran turut menyokong dialog yang 'telus dan ikhlas' serta bersedia untuk 'apa jua senario', namun akan terus berada di meja rundingan selagi kepentingan negara dilindungi. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami