Mungkin ada yang mengetahui bahawa Rolls Royce sedang cuba menghasilkan sebuah model SUV. Walaupun sukar untuk dipercayai tetapi itulah hakikatnya. Pihak syarikat mendedahkan bahawa projek ini dikenali sebagai ‘Projek Cullinan’, dan gambar-gambar pertamanya sudahpun diterbitkan.

Namun begitu ini hanya sebuah kenderaan ujian ataupun dikenali di dalam industri sebagai ‘engineering mule’. Proses pembangunan rekaan masih di dalam peringkat dalaman, dan apa yang disaksikan ini adalah lebih kepada platform untuk menguji sistem pacuan semua-roda yang bakal digunakan.

Badan jentera ini diambil daripada model Phantom Series II yang dipendekkan. Mengikut Rolls Royce, siri awal ujian-ujian yang ada fokus kepada sifat pemanduan Projek Cullinan ketika dipandu atas permukaan jalan raya. Antara kualiti yang diberi perhatian adalah pergerakkan suspensi, stabiliti; dan ini semua dilakukan atas permukaan berbeza tidak kira di litar ujian ataupun jalan raya awam.

Sebagai sebuah SUV, sudah tentunya ia suatu hari nanti akan dibawa ke permukaan lebih mencabar. Yang menjadi fokus – sepertimana yang pasti diharapkan oleh pelanggan Rolls Royce – adalah untuk memberi keselesaan terbaik tidak kira di atas jalan berturap ataupun sebaliknya.

Tapi yang buatkan kami sedikit kaget adalah melihat sebuah Rolls Royce dengan spoiler besar dan suspensi yang dinaikkan begitu tinggi! Nasib sekadar ‘engineering mule’, kenderaan yang dah siap pastinya akan lebih memikat.