Protes di AS berterusan susulan insiden tembakan di Minneapolis

Ratusan protes dan perhimpunan di seluruh negara dengan slogan "ICE Out For Good" telah diumumkan pada hujung minggu. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Protes terhadap Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) berterusan pada Jumaat susulan insiden tembakan yang mengakibatkan kematian seorang wanita berusia 37 tahun di Minneapolis, dengan demonstrasi kini merebak ke beberapa negeri lain di Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Protes berterusan di Amerika Syarikat selepas insiden tembakan yang menyebabkan kematian seorang wanita 37 tahun di Minneapolis, dengan demonstrasi merebak ke beberapa negeri lain.
- Ratusan protes di seluruh negara dengan slogan "ICE Out For Good" diumumkan, sambil organisasi hak sivil menyeru ke arah bantahan terhadap peningkatan keganasan oleh pihak berkuasa ICE.
- Datuk Bandar Minneapolis mengkritik ICE, menyebut agensi itu menjejaskan ekonomi tempatan, demokrasi, dan keselamatan awam, sementara FBI dipercayakan untuk menjalankan siasatan ke atas insiden tembakan tersebut.
Renee Good, seorang warganegara AS berusia 37 tahun, maut ditembak di dalam keretanya ketika operasi ICE pada Rabu. Insiden pembunuhan itu yang dirakam menerusi video, mencetuskan bantahan meluas di seluruh negara. Siasatan terhadap kejadian berkenaan masih dijalankan.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, operasi ICE yang membabitkan kira-kira 2,000 pegawai persekutuan sedang berlangsung di kawasan Minneapolis-St Paul sejak beberapa hari lalu.
Datuk Bandar Minneapolis Jacob Frey mengulangi kritikannya terhadap ICE pada sidang media pada Jumaat, dengan menyatakan agensi itu menjejaskan ekonomi tempatan, demokrasi dan keselamatan awam. Beliau menggesa siasatan yang menyeluruh dan telus dilakukan dengan melibatkan agensi penguatkuasaan undang-undang negeri Minnesota.
Jabatan Kehakiman AS telah menugaskan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk mengetuai siasatan berkenaan. Presiden AS Donald Trump berkata kerajaan persekutuan tidak akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Minnesota.
Trump telah memperketat dasar pengusiran semasa penggal kedua pentadbirannya, dan operasi ICE di bandar-bandar yang diterajui Demokrat sebelum ini turut mencetuskan protes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


