Setiausaha Agung PAP itu memberi amaran tempoh pilihan raya lazimnya menjadi ruang subur untuk ketegangan disemarakkan dan jika tidak ditangani secara berhemah, ia boleh dieksploitasi sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat.
"Ingat, selepas pilihan raya selesai dan semua keterujaan mereda, pertandingan sebenar bukan antara PAP dan pembangkang. Ia adalah Singapura menentang dunia. Titik merah kecil kita menghadapi dunia yang berbahaya dan bergolak," katanya dalam ucapan selama sejam di Stadium Woodlands.
Ini merupakan perhimpunan fizikal pertama bagi pilihan raya umum di Singapura sejak 2015, susulan larangan terhadap perhimpunan seumpama itu semasa PRU2020 akibat pandemik COVID-19.
Wong turut menggesa semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) agar menjunjung prinsip politik berbilang kaum dan tidak memainkan isu sensitif.
Beliau menegaskan, walaupun wujud perbezaan politik, semua pihak adalah "pertamanya" rakyat Singapura dan "diutamakan."
"Pastikan politik berhenti di hujung perairan. Maksudnya, apabila melibatkan kepentingan negara, kedaulatan, keselamatan dan kedudukan kita di persada dunia - jangan jadikan politik dalaman sebagai punca perpecahan. Perpaduan mesti dikekalkan," katanya.
Menyentuh isu ekonomi, Wong menyeru pengundi agar menyokong PAP demi meneruskan "keajaiban Singapura" di tengah ketidaktentuan global, termasuk tarif Amerika Syarikat (AS) dan perang dagang.
Beliau berkata, PAP tidak memilih untuk meremehkan risiko, walaupun ada pihak pembangkang menuduh parti itu menakut-nakutkan rakyat dan membesar-besarkan cabaran.
Wong berkata, ketidaktentuan akibat tarif itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan yang sudah mula merasai kesannya.
"Malah syarikat yang tidak terkesan secara langsung turut bimbang kerana peraturan sering berubah, dan pengumuman dari AS pula sentiasa berubah-ubah," katanya.
Bagi meyakinkan pengundi, Wong menegaskan, keutamaan PAP adalah menangani ketidaktentuan ekonomi - khususnya kos sara hidup dan peluang pekerjaan - sambil menambah bahawa parti itu sentiasa memantau situasi dan bersedia menambah bantuan jika perlu.
Dalam PRU2025, Wong mengetuai pasukan PAP yang bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee, yang menyaksikan saingan empat penjuru antara PAP dan Parti Demokratik Singapura (SDP).
Selain perhimpunan PAP, empat lagi perhimpunan diadakan di seluruh negara pada malam Khamis malam oleh Parti Kuasa Rakyat (PPP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Pekerja (WP) dan SDP.
-- BERNAMA
