DHAKA: Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pada Sabtu mendakwa polis menahan dan mencederakan lebih 100 penyokong parti itu, lapor Anadolu.

Sebuah kenderaan polis dan tiga bas awam dibakar dan beberapa kereta persendirian telah dirosakkan semasa protes.

Parti pembangkang dan pemerintah saling menuding jari atas insiden itu

BNP sedang menjalankan gerakan untuk mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya yang adil secepat mungkin, manakala parti Liga Awami (AL) mahu pilihan raya diadakan pada Disember atau awal Januari.

Sementara itu, video yang tular di media dan televisyen tempatan menunjukkan polis mengunakan belantan serta menahan ahli jawatankuasa tetap BNP Gayeshwar Chandra Roy di Dhaka.

Bagaimanapun, beliau kemudian dibebaskan.

Polis Metropolitan Dhaka (DMP) berkata pihaknya menahan 90 orang kerana merosakkan harta benda awam dan memulakan serangan ke atas polis.

Timbalan pesuruhjaya sayap media DMP, Faruk Hossain, berkata 20 anggota polis cedera diserang penyokong BNP.

Polis menahan lebih 1,200 pemimpin dan penyokong parti pembangkang BNP sejak tiga hari lalu semasa perhimpunan besar-besaran di Dhaka.

Parti Islam terbesar Bangladesh Jamaat-e-Islami turut mengutuk serangan polis itu dan mengatakan 200 pemimpin serta penyokong mereka telah ditahan.

Dilaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat dikatakan telah memberikan tekanan ke atas kerajaan Bangladesh untuk mengadakan pilihan raya yang bebas kerana dua pilihan raya sebelum ini didakwa dicemari penipuan undi.

Pada Khamis, 14 anggota Kongres AS menulis kepada duta AS ke PBB supaya mengadakan pilihan raya di bawah pengantaraan PBB dan parti yang neutral.

Kerajaan Bangladesh beranggapan tindakan Barat itu sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman.

Kementerian Luar telah memanggil 13 perwakilan asing pada Rabu untuk melahirkan rasa tidak puas hati mengenai kenyataan yang menggesa siasatan adil terhadap serangan ke atas calon bebas semasa pilihan raya kecil Dhaka pada 17 Julai. - BERNAMA