Ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanan London terutamanya berdekatan Parliament Square pada Jumaat, sambil membawa sepanduk dan kain rentang yang memproted kunjungan sulung Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Britain.

Kira-kira 65,000 orang menyokong demonstrasi di ibu kota itu sementara banyak lagi bantahan seumpamanya dijangka dilangsungkan di beberapa bandar lain di negara itu.

Mereka mempamerkan beberapa sepanduk yang tertera frasa 'Dump Trump' (Buang Trump) dan 'Keep your tiny hands off women's rights' (Jangan campur tangan isu hak wanita) sementara ramai yang melaungkan "Donald Trump has got to go!" (Donald Trump harus pergi!).

Wartawan Astro AWANI di London, Izza Izelan, turut berada di lokasi untuk merakamkan suasana:


Kemuncak tunjuk perasaan turut tertumpu pada sebuah belon besar berwarna jingga berbentuk figura Trump dalam imej seorang bayi, yang diapungkan di pekarangan luar bangunan Parlimen.

"Saya ingin jelaskan di sini, apabila Trump datang ke negara ini, kita tidak bersetuju dengan polisi yang diperkenalkannya.

"Ini akan memberi isyarat sokongan kepada pihak yang menjadi mangsa prejusdis Trump," ujar salah seorang penunjuk perasaan, Kimberley, 35, seperti yang dilaporkan Reuters.

Salah seorang penunjuk perasaan mempamerkan sepanduk dengan mesej khusus buat Trump. - Astro AWANI/Izza Izelan

Britain menganggap hubungan eratnya dengan Amerika Syarikat sebagai contoh dasar luar dua buah negara.

Namun segolongan rakyat Britain melihat Trump sebagai individu yang mentah berpolitik, tidak boleh dipercayai, dan bertentangan dengan nilai-nilai mereka dalam pelbagai isu.