DUNIA
Puteri sulung Raja Maha Vajiralongkorn alami jangkitan darah teruk

Mesra dengan panggilan Puteri Bha beliau merupakan puteri sulung Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dan satu-satunya anak daripada perkahwinan pertama baginda. - Gambar fail
PUTERI sulung Raja Thailand dilaporkan sakit tenat di hospital selama lebih dua tahun, selepas mengalami jangkitan darah teruk, menurut kenyataan Istana Thailand pada Jumaat.
Pada Disember 2022, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol tidak sedarkan diri di hospital selepas mengalami komplikasi jantung ketika menghadiri sesi latihan anjing tentera di Nakhon Ratchasima, utara Bangkok.
“Kumpulan doktor melaporkan bahawa paru-paru dan buah pinggang puteri itu berfungsi dengan bantuan peralatan perubatan dan ubat-ubatan,” menurut kenyataan itu.
“Mulai 9 Ogos 2025, pasukan perubatan mengesan jangkitan teruk dalam aliran darah, menyebabkan mereka memberikan antibiotik dan ubat lain untuk merangsang dan mengekalkan kestabilan tekanan darah.“Kumpulan perubatan akan terus memantau keadaan Puteri Bajrakitiyabha dan memberikan rawatan bersesuaian, menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan Istana Thailand berkenaan merupakan kemas kini pertama mengenai keadaan puteri tersebut sejak Disember 2022.
Mesra dengan panggilan Puteri Bha, 46, beliau merupakan puteri sulung Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, 73, dan satu-satunya anak daripada perkahwinan pertama baginda.
Puteri Bajrakitiyabha pernah memegang pelbagai jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memperjuangkan layanan lebih baik kepada wanita di penjara.
Beliau dilantik ke jawatan kanan dalam pasukan pengawal peribadi raja setahun sebelum dimasukkan ke hospital.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami