ISTANBUL: Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan pada Sabtu penggantungan serangan ke atas Kyiv selama tiga hari bermula tengah malam waktu tempatan (2100 GMT), menurut Kremlin seperti dilaporkan agensi berita rasmi Rusia, Tass.
Dalam satu wawancara bersama Tass, Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, keputusan itu dibuat menjelang rancangan penganjuran lawatan Utusan Khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff dan menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner ke Kyiv.
"Presiden Rusia dan Panglima Besar Putin mengarahkan supaya tiada serangan dilakukan ke atas Kyiv selama tiga hari, berkuat kuasa tengah malam. Ini berikutan perbincangan pihak Amerika di Kyiv," katanya.
Peskov memaklumkan bahawa Putin akan mengadakan pertemuan dengan Witkoff dan Kushner pada sebelah malam.
"Pertemuan dengan Presiden memang akan berlangsung. Akan ada perbincangan. Secara amnya, perbincangan sebelum ini berlangsung agak lama," katanya.
Awal Sabtu, Witkoff dan Kushner tiba di Moscow bagi menghadiri perbincangan yang bertujuan menamatkan perang Rusia-Ukraine.
Utusan AS itu dijangka melawat Kyiv pada Ahad buat julung kalinya menyusuli kunjungan mereka ke Moscow.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata pada Jumaat, Kyiv tidak akan melancarkan serangan semasa lawatan Witkoff dan Kushner ke Rusia serta menggesa Moscow mengambil langkah sama apabila utusan berkenaan tiba di Ukraine.
Witkoff dan Kushner belum pernah melawat Kyiv sebelum ini, manakala kedua-duanya telah membuat beberapa kunjungan ke Moscow sejak rundingan tajaan AS bermula.
Lawatan terakhir mereka adalah pada 22 Jan apabila mereka bertemu Putin di Kremlin.
Trump berkata pada Jumaat, Kushner dan Witkoff akan berlepas ke Moscow bukannya dengan cadangan baharu, tetapi dengan cadangan yang bertujuan untuk menamatkan perang.
Kali terakhir Moscow dan Kyiv mengadakan rundingan damai tajaan AS awal tahun ini, melibatkan tiga pusingan perbincangan pada 23-24 Jan, 4-5 Feb dan 17-18 Feb.
Dua pusingan pertama diadakan di Abu Dhabi, manakala pusingan ketiga berlangsung di Geneva.
Rundingan berkenaan ditangguhkan sejak itu, dengan Moscow dan Kyiv mengaitkan penggantungan berkenaan kepada tumpuan Washington terhadap Iran susulan penularan perang pada lewat Februari.
-- BERNAMA-ANADOLU