Skip to main content

Dunia

Putin, Ramaphosa antara pemimpin terawal tiba untuk Sidang Kemuncak BRICS

[TB]_Vladimir Putin Cyril Ramaphosa, BRICS Summit 2026, India_REUTERS
Presiden Vladimir Putin (kanan) dan Presiden Cyril Ramaphosa antara pemimpin BRICS yang tiba awal di New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ke-18 perkumpulan itu pada hujung minggu ini. - Gambar Reuters
Advertisement

NEW DELHI: Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa antara pemimpin BRICS yang tiba awal di ibu negara India bagi menghadiri Sidang Kemuncak ke-18 perkumpulan itu pada hujung minggu ini.

Ketibaan mereka disusuli oleh Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Naib Presiden Uganda, Jessica Alupo; Naib Presiden Nigeria, Kashim Shettima dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

Menurut senarai ketibaan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar India, pemimpin BRICS tiba di dua lokasi lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi dan Pangkalan Tentera Udara (AFS) Palam di New Delhi.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual tiba hari ini pada 6.40 petang waktu tempatan (9.15 malam waktu Malaysia) di AFS Palam.

Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping dijadual tiba pada 12 Sept.

Malaysia menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS adalah atas kapasitinya sebagai Negara Rakan BRICS.

Sidang kemuncak itu yang akan dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi bertemakan Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan, dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

Kumpulan BRICS, yang berfungsi sebagai forum penyelarasan politik dan diplomatik untuk negara Selatan Global serta platform kerjasama merentasi pelbagai sektor, pada asalnya ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China.

Perkumpulan itu kemudiannya berkembang dengan kemasukan Afrika Selatan pada 2011, diikuti  Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2023, dan Indonesia pada 2024.

Malaysia serta Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan, diterima sebagai negara rakan BRICS.

Sebagai ahli pengasas BRICS, India sebelum ini telah memegang jawatan pengerusi sebanyak tiga kali pada  2012, 2016 dan 2021. 

India mengambil alih jawatan pengerusi BRICS buat kali keempat pada 1 Januari 2026.

Tahun 2026 juga menandakan peristiwa penting apabila BRICS mencecah usia dua puluh tahun sejak penubuhannya.

Senarai penuh ketibaan pemimpin boleh diakses di sini: https://www.mea.gov.in/media-advisory?dtl/41762/Visit_of_Participants_of_BRICS_Summit_2026

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement