Ringkasan AI
- Pakatan Harapan berhasrat membatalkan pelantikan tujuh ADUN lantikan jika membentuk kerajaan Melaka selepas Pilihan Raya Negeri akan datang.
- Penjimatan hasil pembatalan pelantikan akan disalurkan kepada program pemilikan rumah dan keusahawanan belia di negeri Melaka.
- PH juga berjanji membuka semula kediaman rasmi Ketua Menteri untuk program Hari Bertemu Rakyat secara mingguan jika diberi mandat.
AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) berhasrat membatalkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan Melaka pada Sabtu ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari turut berjanji untuk membuka semula kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka, Seri Bendahara bagi mengadakan program Hari Bertemu Rakyat secara mingguan.
"Penjimatan daripada pembatalan itu akan disalurkan kepada dua perkara iaitu adalah untuk golongan belia memiliki rumah dan usahawan belia," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Ayer Keroh, hari ini.
Untuk rekod, DUN Melaka pada 14 Julai lalu meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan sehingga tujuh ADUN lantikan.
Pindaan yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu mendapat sokongan 23 ADUN, manakala lima lagi membantah.
Pada 8 Oktober lalu, Adly bersama Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong memfailkan saman pemula bagi mencabar kesahihan pindaan berkenaan di Mahkamah Tinggi Melaka.
Menyentuh soal program Hari Bertemu Rakyat, Adly berkata pendekatan tersebut dibuat seperti yang pernah dilaksanakan ketika PH menerajui pentadbiran negeri sebelum ini.
Katanya, sesi pertemuan berkenaan sebelum ini diadakan setiap Khamis, bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.
"Rakyat boleh mengemukakan permasalahan dan isu yang berbangkit," katanya.
Tambahnya, sebahagian besar masalah rakyat boleh diselesaikan melalui pertemuan dengan Ketua Menteri dan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri.
PH pernah menerajui pentadbiran Melaka selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, dengan Adly dilantik sebagai Ketua Menteri sebelum kerajaan negeri bertukar pada Mac 2020.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, PH mempertaruhkan calon di 24 daripada 28 kerusi DUN, dengan pengundian dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.