Skip to main content

Malaysia

Tragedi kepala air Sungai Pertak: Satu lagi mayat ditemukan, dua masih hilang

Mayat keenam daripada lapan individu yang dilaporkan hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, ditemukan pagi ini pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR). - Foto Bernama
Mayat keenam daripada lapan individu yang dilaporkan hilang dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, ditemukan pagi ini pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR). - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Mayat keenam mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit ditemukan berhampiran Empangan Sungai Selangor pagi ini, dua lagi masih hilang.
  • Operasi mencari dan menyelamat bermula 7 pagi dengan pasukan JBPM memperluas pencarian mengikut sektor, termasuk kawasan Lata Jebus hingga Tapak Berkelah Sungai Pertak.
  • Penemuan mayat dipacu maklumat penduduk Orang Asli yang mengesan bau di lokasi, namun pencarian terhalang paras air sungai yang masih tinggi.
Advertisement

HULU SELANGOR: Satu lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, ditemukan di sekitar kawasan Empangan Sungai Selangor, menjadikan enam mangsa ditemukan setakat ini manakala dua lagi masih hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan kira-kira 10.15 pagi tadi dan dibawa ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk proses selanjutnya.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini bermula 7 pagi dengan beberapa pasukan digerakkan mengikut sektor bagi memperluas kawasan pencarian.

Advertisement

Ashrul Riezal berkata Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM menjalankan pencarian di Sektor A hingga B, iaitu dari kawasan Lata Jebus hingga ke PKTK di Tapak Berkelah Sungai Pertak.

“Pasukan SAR memberi tumpuan di Sektor A petang semalam selepas menerima maklumat seorang penduduk Orang Asli yang terhidu bau dipercayai daripada mayat ketika melalui lokasi itu selepas pulang dari kebun.

Advertisement

"Ketika tinjauan, kita memang mengesan bau di kawasan berkenaan namun tidak dapat menyeberangi sungai kerana paras air masih tinggi, kira-kira dua meter melebihi paras biasa,” katanya ketika dihubungi.

Isnin lepas, lapan lelaki dihanyutkan arus dengan seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.

Empat lagi mangsa warga asing ditemukan pada pagi hari sama di kawasan Jambatan Senget dan Jambatan Gantung, kira-kira 950 meter hingga satu kilometer dari Lata Jebus.

Lata Jebus dipercayai lokasi tujuh daripada lapan mangsa dihanyutkan arus, manakala seorang lagi mangsa dipercayai dihanyutkan dari kawasan berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement