Ringkasan AI
- Polis Sarawak menumpaskan tujuh sindiket penipuan dalam talian menerusi tujuh serbuan di lima lokasi, menahan 42 individu termasuk warga asing.
- Sindiket terbabit menjalankan penipuan pelaburan, mata wang kripto, judi dalam talian, pengurusan kewangan, serta pelbagai modus operandi lain dengan mangsa antarabangsa.
- Dalam kes berasingan, polis merampas rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM9.7 juta di Sibu, serta menahan seorang lelaki tempatan.
KUCHING: Polis Sarawak menumpaskan tujuh sindiket penipuan dalam talian menerusi tujuh serbuan di Bintulu, Kuching, Padawan, Miri dan Sibu sepanjang Ops Magpie bulan lepas, dengan 42 individu ditahan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Saifullizan Ishak berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 36 lelaki dan enam wanita berusia 19 hingga 61 tahun, termasuk 14 warga tempatan dan 28 warga asing.
“Tujuh serbuan itu membabitkan dua rumah banglo, tiga rumah teres dan dua apartmen yang dipercayai dijadikan pusat operasi penipuan panggilan,” katanya pada sidang media disini, hari ini.
Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai menjalankan penipuan pelaburan, mata wang kripto, judi dalam talian dan pengurusan kewangan hasil penipuan, dengan mangsa disasarkan di Jepun, China, Indonesia dan Austria.
“Modus operandi lain termasuk penipuan tawaran pekerjaan, phone scam, love scam, pembelian dalam talian dan pinjaman tidak wujud,” katanya dan menambah sindiket berkenaan beroperasi di premis terbabit antara 10 hari hingga 11 bulan dan kebanyakan suspek dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelancong.
Saifullizan berkata turut dirampas peralatan bernilai kira-kira RM230,000, termasuk 33 komputer riba, empat set komputer, tujuh telefon bimbit, lima set peranti UniFi, sebuah peranti Starlink dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya melaporkan aktiviti mencurigakan, khususnya kehadiran warga asing dalam jumlah luar biasa di kawasan kilang terbiar, perumahan baharu, apartmen kurang berpenghuni dan pusat peranginan, kepada pihak polis.
Dalam kes berasingan, Saifullizan berkata pihaknya mencatatkan rampasan terbesar tahun ini membabitkan merampas rokok dan minuman keras dipercayai tidak bercukai bernilai RM9.7 juta, dalam serbuan di sebuah jeti persendirian di Jalan Sungai Mauh, Sibu pada 7 Nov.
Saifullizan berkata dalam serbuan kira-kira 8 pagi yang dilakukan Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sibu, seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an ditemukan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kontena.
“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok, dipercayai tidak dibayar cukai dan lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan disimpan di dalam kontena itu,” katanya.
Beliau berkata lelaki berkenaan ditahan bersama dengan rampasan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA