DUNIA
Putin terbuka bertemu Zelenskyy di Moscow, Kyiv anggap ‘tidak boleh terima’

Presiden Putin (kiri) menegaskan, beliau “tidak pernah menolak” kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Presiden Zelenskyy bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan lebih tiga tahun setengah. - Gambar fail
BEIJING: Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Rabu menegaskan, beliau “tidak pernah menolak” kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan lebih tiga tahun setengah.
Namun, Putin memberi amaran jika tiada sebarang perjanjian damai dicapai, Moscow akan tetap mencapai matlamatnya melalui jalan ketenteraan.
“Donald (Trump) meminta saya untuk pertemuan seperti itu, saya jawab: ‘Ya, boleh, biar Zelenskyy datang ke Moscow’,” kata Putin pada akhir lawatannya ke China sambil menambah pertemuan itu hanya akan berlaku jika dianggap wajar.
“Adakah ia berbaloi? Kita lihat nanti,” ujar Putin di Beijing, sambil mempersoalkan legitimasi Zelenskyy dan menyeru supaya pilihan raya diadakan di Ukraine.Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berusaha menjadi orang tengah proses damai, sebelum ini mencadangkan pertemuan empat mata antara Putin dan Zelenskyy selepas beliau bertemu pemimpin Rusia itu di Alaska pada pertengahan Ogos.
Setakat ini tiada kemajuan dicapai, dengan Canselor Jerman, Friedrich Merz pada Selasa mencadangkan Geneva sebagai lokasi alternatif.
Putin turut menggesa undang-undang darurat di Ukraine ditamatkan dan referendum dijalankan mengenai isu wilayah, sesuatu yang ditolak keras oleh Kyiv.
Rusia berulang kali menegaskan sebarang perjanjian damai perlu menjamin ia mengekalkan empat wilayah yang dianeksasi pada 2022.
Sebaliknya, Ukraine bertegas tidak akan menerima sebarang perjanjian yang melibatkan penyerahan tanahnya.
Mengulas kenyataan Putin, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha mendedahkan terdapat “cadangan serius” daripada tujuh negara untuk menjadi tuan rumah pertemuan dua pemimpin itu, dan Zelenskyy sedia menyertainya pada bila-bila masa.
“Namun Putin terus mempermainkan semua pihak dengan membuat cadangan yang jelas tidak boleh diterima. Hanya tekanan antarabangsa yang lebih kuat boleh memaksa Rusia benar-benar serius tentang proses damai,” tulis Sybiha.
Putin sebaliknya berkata, konflik Ukraine boleh ditamatkan sekiranya “akal sihat” diutamakan, tetapi menegaskan sekiranya gagal, Rusia akan menyelesaikan “semua tugasnya secara ketenteraan.”
Hubungan Rusia-AS dan usaha diplomasi
Menurut penganalisis Al Jazeera di Moscow, Dorsa Jabbari, kenyataan Putin memberi gambaran bahawa beliau percaya pentadbiran Donald Trump memahami pendirian Rusia.
“Putin percaya Rusia sanggup berunding untuk menamatkan konflik, tetapi tidak akan tunduk kepada tuntutan Ukraine. Jaminan keselamatan Rusia perlu dipenuhi,” katanya.
Putin tiba di Beijing pada Ahad bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai yang turut dihadiri pemimpin global termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Dalam lawatan itu, Rusia dan China menandatangani lebih 20 perjanjian meliputi tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan projek infrastruktur, termasuk pelan pembinaan saluran paip gas utama baharu.
Trump bakal hubungi Putin
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump pada Rabu mengumumkan beliau akan menghubungi Putin dalam beberapa hari lagi.
“Dia tahu pendirian saya dan akan membuat keputusan sama ada ke arah yang baik atau sebaliknya. Jika kita tidak berpuas hati, anda akan lihat tindakan diambil,” kata Trump.
Putin turut memuji Utusan Khas AS, Steve Witkoff, dengan menyifatkan beliau menyampaikan pandangan Rusia dengan tepat kepada pentadbiran Trump selepas sidang kemuncak di Alaska.
Ketika Putin membayangkan kemungkinan bertemu Zelenskyy di Moscow, pemimpin Ukraine itu pula merancang mengadakan perbincangan dengan Trump pada Khamis bagi mendesak sekatan baharu terhadap Rusia.
Dalam lawatannya ke Copenhagen, Zelenskyy berkata, mereka menerima “isyarat” daripada AS bahawa Washington akan memberikan sokongan kukuh terhadap Ukraine.
Menurut laporan dari White House, Trump dijangka menumpukan kepada kemungkinan pertemuan Putin-Zelenskyy, walaupun Putin bertegas hanya mahu ia berlangsung di Moscow.
Sementara itu, Istana Elysee di Paris memaklumkan, Zelenskyy akan mengadakan pertemuan dengan gabungan negara ‘coalition of the willing’ sama ada secara maya atau bersemuka pada Khamis, sebelum mengadakan panggilan telefon bersama Trump. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami